Kita ada masalah kewangan musim ini tapi kami tetap akan berjuang – Herold Goulon

1,184

Pemain pertahanan Negeri Sembilan FC, Herold Goulon menegaskan bahawa beliau dan rakan sepasukan akan terus berjuang dalam setiap perlawanan walaupun mereka adalah pasukan yang serba kekurangan.

Goulon juga kecewa apabila rakan sepasukannya Safuwan Baharudin meninggalkan kelab itu untuk berhijrah ke Selangor FC baru-baru ini.


“Saya kecewa Safuwan berpindah kerana beliau adalah seorang pemain yang bagus dan saya juga tidak tahu samada pasukan akan menggantikan pemain itu. Saya tumpang gembira untuk beliau jika beliau gembira bersama pasukan baru.

Seperti yang anda tahu kami mempunyai sedikit masalah kewangan tahun ini tapi kami akan tetap berjuang di atas padang,”

katanya.

Terdahulu, beliau berjaya membantu pasukannya untuk mengikat KL City FC 1-1 pada perlawanan Liga Super yang berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Dalam pada itu, Goulon yang kali pertama turun beraksi dalam perlawanan petang mengakui berasa cukup sukar kerana terpaksa bermain dalam keadaan cuaca yang agak panas dan lebih memilih untuk bermain pada waktu malam.

“Lebih baik main pada waktu malam. Saya rasa pihak yang buat keputusan untuk adakan perlawanan waktu petang ni tak pernah berlari dalam keadaan panas.

Separuh masa pertama cukup sukar, tapi pada separuh masa kedua kami bermain dengan lebih baik kerana cuaca semakin baik tapi lebih baik main pada waktu malam.”

Sementara itu, Goulon berkata beliau masih lagi berada pada tahap yang sama seperti sebelum ini tapi perlu lebih berjaga-jaga kerana usia sudah menjangkau 35 tahun.

“Saya masih sama cuma hari ini saya bermain 70 minit sahaja kerana baru sahaja pulih dari kecederaan selepas hampir tujuh minggu. Saya sudah tua, jadi tak boleh nak terlalu paksa.”