DSV mahu timba ilmu bola sepak daripada TMJ, tetapi adakah hajatnya akan tertunai?

638

Datuk Seri Hasmiza Othman atau lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida (DSV) memberi bayangan bakal bertemu pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim bagi mendapatkan nasihat dan ilmu dalam usaha mengambil alih Kelantan FC.

Persoalannya adakah pemilik kelab gergasi selatan tersebut akan memilih untuk bertemu dengan pengusaha produk kosmetik terkenal tanah air itu?


Nama TMJ memang tidak boleh disangkal lagi dengan kemasyuran dan kejayaan yang diperoleh oleh Johor Darul Ta’zim (JDT) dan juga bola sepak Malaysia, sehingga kini membuktikan bahawa ilmu serta pengetahuannya dalam bola sepak sangat mujarab.

DSV bukanlah yang individu yang pertama yang mahu bertemu TMJ bagi mendapatkan ilmu atau perancangan dalam mengendalikan sesebuah pasukan bola sepak.

Sebelum ini baginda telah didatangi oleh ramai lagi pemilik dan pegawai pasukan tempatan antaranya pengendali PDRM FC iaitu ASP Mohamad Hafiz Bin Zainal Abidin yang melakukan lawatan ke pusat latihan serta fasiliti JDT.

Meskipun hal ini seakan-akan seperti ‘musuh menyerbu kubunya’, namun sikap baginda yang tidak kedekut untuk berkongsi ilmu serta minat bola sepaknya itu telah menjadi ‘magnet’ untuk menarik lebih ramai lagi individu lain untuk datang mempelajari sesuatu daripada baginda.

Malah, pemilik Kelantan ketika ini, Zamsaham juga pernah mengadakan pertemuan dengan TMJ ketika awal mengambil alih kelab itu dan yang terbaru beberapa bulan lalu.

Selain itu, Menteri Belia dan Sukan iaitu Hannah Yeoh juga pernah menghadap TMJ pada awal tahun ini yang memperlihatkan dua individu penting itu membincangkan serta berkongsi pendapat mengenai penambahbaikan infrastruktur dan pembangunan sukan dalam Malaysia.

TMJ sendiri memperlihatkan dirinya sebagai peminat bola sepak sejati sehingga berjaya merevolusikan semula bola sepak negeri Johor yang mana suatu masa dahulu ia tidaklah seperti yang kita lihat sekarang.

Berbekalkan ilmu serta minat yang mendalam baginda dalam bola sepak sejak tahun 2012 sehingga hari ini sudah berapa banyak kejayaan yang dikecapi oleh skuad harimau selatan tersebut? Dalam negara? Luar negara?

Dengan pencapaian yang sangat konsisten menjadi juara Liga Super sebanyak sembilan kali berturut-turut daripada tahun 2014 selain pernah memenangi Piala AFC pada tahun 2015 meyakinkan lagi ramai pengendali kelab untuk menimba ilmu dengannya.

Dalam pada itu, TMJ sememangnya minat untuk membantu pasukan-pasukan bola sepak tempatan untuk memastikan tidak ketinggalan terlalu sekaligus menjadikan persaingan jauh dalam kancah liga tempatan semakin sihat dan sengit.

JDT memang kelab yang tidak boleh dipertikai lagi reputasinya sebagai sebuah pasukan berstatus tinggi melangkaui semua pasukan di Liga Super dan turut menjadi skuad kedua termahal di Asia Tenggara dengan nilai 8.88 Juta Euro (RM 45.27 Juta).

TMJ sendiri boleh dijadikan sebagai pakar rujuk sukan bola sepak negara meskipun banyak terpalit dengan kontroversi sejak awal penubuhan JDT, namun sehingga kini kita sudah nampak dengan mata dan kepala kita betapa maju dan berjayanya JDT di mata Asia.