Muak dengan pengurusan, penyokong Penang FC mahu ‘Duduk & Bantah’, bukan perkara baik untuk kelab

174

Penyokong Penang FC yang diketuai oleh Penang Brotherhood bakal melancarkan mogok pada perlawanan seterusnya kerana mahukan pihak pengurusan kelab tersebut turun padang menjelaskan isu sebenarnya kegagalan skuad Harimau Kumbang dalam beberapa musim ini.

Penang Brotherhood dalam satu perkongsian yang dibuat dalam laman sosial Facebook mendesak pihak pengurusan Penang untuk memberikan penjelasan kepada peminat di bawah program yang diberi nama ‘Duduk & Bantah’.


Namun hal sebegini bukanlah sesuatu yang baru buat penyokong-penyokong Penang yang sudah acap kali melaungkan kemarahan terhadap pengurusan kelab tersebut kerana kurang berkesan dalam memastikan prestasi pasukan berada pada tahap yang memuaskan.

Musim lalu juga ramai penyokong yang sudah mula mengecam pihak pengurusan dan mendakwa mereka hanya memikirkan keuntungan dan tidak ada yang betul-betul berniat untuk membina pasukan bola sepak negeri tersebut.

Perkara ini seakan-akan berulang dan tiada sebarang hasil yang ditonjolkan dalam beberapa musim keberadaan mereka di kancah Liga Super meskipun pemain demi pemain ditukar termasuklah jurulatih.

Hal ini sememangnya sukar untuk ditafsir oleh peminat yang mengharapkan kemenangan demi kemenangan boleh diraih oleh pasukan kesayangan mereka sekaligus memberi cabaran buat pasukan di kelompok teratas liga.

Jika dilihat semula statistik pasukan Penang beberapa musim yang lepas terutama pada tahun 2021 saat mereka kembali ke Liga Super, prestasi yang ditunjukkan sangat memberansangkan apabila menduduki tangga ketiga.

Hal ini secara tidak langsung telah menetapkan satu penanda aras buat para pemain dan barisan kejurulatihan oleh penyokong kelab dalam saingan musim seterusnya agar terus mengekalkan momentum dan meningkatkan lagi prestasi, namun segala usaha mereka tidak membuahkan hasil.

Akibatnya pada tahun 2022, Penang bagai telur di hujung tanduk selepas menduduki tangga tercorot liga di bawah Sarawak United dan Melaka United, namun disebabkan format baru yang diperkenalkan musim ini membuatkan kelab itu masih dikekalkan.

Kini, para penyokong sememangnya naik berang dengan prestasi yang ditampilkan apabila walaupun dengan jurulatih baharu dan barisan pemain yang berbeza, masih tiada peningkatan yang ditonjolkan dan selepas 17 perlawanan mereka terperosok di tangga ke-10 dengan hanya lima kemenangan sahaja.

Penang dalam satu kenyataan pula membalas dengan mengatakan bahawa pihak pengurusan sentiasa peka dan prihatin dengan luahan rasa kecewa dan kemarahan para penyokong dengan prestasi semasa.

Kelab itu juga menasihati penyokong supaya tidak menyasarkan individu tertentu dan tidak melakukan tindakan yang tidak bijaksana.

Namun, Penang Brotherhood tetap dengan keputusan mereka untuk menjalankan kempen ‘Duduk & Bantah’ untuk mendesak pihak pengurusan melakukan sesuatu.

Diharapkan, ada kesepakatan yang dicapai antara pihak pengurusan dan para penyokong bagi memastikan kedua-dua pihak berada di lanadasan yang sama dalam memastikan Penang terus bangkit.

Ini kerana, para pemain memerlukan sokongan daripada pengurusan dan juga penyokong, namun konfrontasi antara kedua-dua pihak dilihat mampu mengganggu prestasi pemain.