Roslin Hashim gesa pihak berwajib basmi pihak yang merosakkan badminton negara

341

Sukan badminton merupakan sukan kedua terbesar di Malaysia, namun peredaran zaman telah menyaksikan prestasi badminton bukan semakin meningkat tapi sebaliknya apabila prestasi badminton negara semakin merudum.

Jika sebelum ini Malaysia merupakan salah sebuah negara gergasi badminton dunia, namun kini negara-negara yang sebelum ini sering menjadi mangsa pemain negara seperti India, Singapura, Thailand dan beberapa lagi kini menjadi pemangsa apabila mudah menewaskan pemain negara.


Ini realiti pahit yang perlu ditelan oleh peminat badminton negara apabila kecewa setiap kali melihat pemain negara tumbang di kejohanan-kejohanan yang disertai mereka.

Bekas jaguh badminton negara, Muhammad Roslin Hashim antara yang kecewa dengan prestasi ‘tenggelam timbul’ pemain badminton negara.

Melihat kepada sukan badminton berada dalam keadaan semakin tenat, Roslin tampil bersuara mempersoalkan mengapa setiap kali tiada pencapaian hanya jurulatih dan pemain sahaja dikenakan tindakan?

Roslin dalam ciapannya di Twitter telah mendedahkan bahawa beliau telah dikenakan tindakan termasuk di saman dek kenyataannya yang dikatakan mengaibkan.

Tidak sanggup lagi melihat sukan yang dicintainya terus ‘jahanam’, Roslin berharap pihak kerajaan dan pihak berwajib dapat membantunya dalam usaha membasmi orang-orang yang merosakkan sukan badminton negara.

Beliau juga mengakui terpaksa berjuang seorang diri kerana rakan lain semuanya mengambil pendekatan untuk ‘kunci mulut’ kerana bimbang periuk nasi masing-masing terjejas.

Nekad untuk terus berjuang demi badminton negara, bekas pemain berusia 47 tahun itu memohon doa daripada semua untuknya berjaya

Beliau juga nekad dan untuk berjuang seorang diri dan sanggup berdepan apa sahaja cabaran, halangan dan dugaan demi mengembalikan zaman kegemilangan badminton negara.

Isu yang diperjuangkan oleh Roslin bukanlah isu baru sebaliknya sudah lama diperkatakan, namun sehingga kini masih lagi tiada sebarang perubahan ke arah yang lebih baik.

Oleh itu, diharap ada pihak yang akan memandang serius mengenai isu yang dibangkitkan oleh Roslin ini untuk selamatkan badminton negara dari terus ‘jahanam’.