Zamsaham tuntut KAFA bayar hutang RM3.8 juta

467

Pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman menuntut Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) menjelaskan tunggakkan hutang berjumlah RM3.8 juta yang sehingga kini masih tidak dijelaskan lagi.

Norizam Tukiman atau lebih dikenali sebagai Zamsaham berkata demikian dalam satu sidang media petang tadi yang mana beliau turut menafikan segala tuduhan fitnah yang bermain di media sosial ketika ini.


Hal ini termasuklah juga dengan isu gaji pemain di Kelantan yang sehingga kini menjadi bualan ramai sehingga ada segelintir pihak yang mendesak supaya Zamsaham menjual kelab tersebut kepada pemilik baru.

Beliau pada masa sama turut berkata sekiranya KAFA dapat membayar hutang berjumlah jutaan ringgit itu, sudah pasti beliau dapat menyelesaikan isu tunggakan gaji yang melanda pasukan itu.

“Kepada KAFA minta tolong RM3.8 juta hutang saya tolong lah bayar, FAM atau MFL tolong lah saya, RM3.8 juta tu macam-macam saya boleh buat, saya boleh buat berapa banyak padang lepastu saya boleh bayar gaji pemain-pemain saya yang mana tertunggak,”

ujarnya.

Dalam sidang media sama turut dihadiri oleh wakil kewangan Zamsaham dan juga peguamnya itu turut membincangkan isu yang terbaharu iaitu apabila beberapa pelabur TRW tampil menuntut semula wang pelaburan mereka.

Beliau yang berang dengan apa yang berlaku menjelaskan bahawa setiap pelaburan pastinya ada risiko samada untuk mahu pun rugi.

Malah beliau juga berkata setiap pelabur telah dimaklumkan secara terperinci dengan risiko yang bakal dihadapi mereka selain pemilihan pelabur itu dilakukan sendiri oleh pihaknya secara berperingkat bagi memastikan mereka yang layak sahaja boleh membuat pelaburan tersebut.

“Bukannya saya kumpul duit orang, mereka kena lalu beberapa proses termasuk temuduga. Jika mereka tidak tahu tentang risiko pelaburan ini untuk jangka masa panjang, saya tidak akan ambil duit mereka,”

jelasnya.

Kenyataan Zamsaham dalam sidang media tersebut sekaligus menafikan kesemua fitnah yang mendakwa beliau mengutip duit pelabur sebagai dana untuk membeli kelab The Red Warrior itu pada tahun 2020.

Tidak hanya sekadar menafikan sahaja, beliau turut memperlihatkan bukti-bukti seperti gambar dan video bahawa setiap tuduhan yang dilemparkan kepadanya mengenai isu penyelewengan duit pelaburan adalah fitnah.

Beliau juga berkata akan mengambil tindakan undang-undang dengan menyaman pihak yang memfitnahnya.