Baddrol Bakhtiar bakal kembali berbakti bersama Persatuan Bola Sepak Kedah?

838

Bekas ketua pasukan Sabah FC dan Kedah Darul Aman FC, Baddrol Bakhtiar telah mengejutkan dunia bola sepak tanah air selepas beliau mengumumkan persaraannya dari dunia bola sepak dan akan menceburi bidang politik.

Antara faktor utama yang menyebabkan beliau terjun ke dunia politik adalah untuk mempertahankan kepimpinan Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi bin Md Nor serta memperjuangkan agama dan bangsa.


Susulan itu, bekas ketua pasukan kebangsaan ini dilaporkan bakal bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Ogos depan.

Walaupun beliau tidak mempunyai kepakaran dalam dunia politik, namun beliau mempunyai pengalaman yang cukup luas dalam dunia bola sepak tanah air.

Dengan pengalaman bola sepak dalam dan luar negara, Baddrol dijangka mampu menabur bakti di Kedah dalam aspek pembangunan bola sepak di negeri itu.

Umum mengetahui bahawa Kedah merupakan antara negeri yang melahirkan ramai pemain bola sepak berkualiti, namun sejak beberapa tahun kebelakangan ini negeri Jelapang Padi itu tampak sedikit mundur apabila tidak banyak produk dari negeri itu berjaya dapat tempat dalam saingan liga tertinggi.

Mungkin dengan kemasukan beliau dalam dunia politik dapat memberinya peluang untuk menerajui Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), sekaligus menggantikan Presiden KFA ketika ini iaitu Sanusi.

Jika ia menjadi kenyataan, tidak mustahil bola sepak Kedah bakal kembali melahirkan ramai pemain-pemain berkualiti kerana dipimpin oleh individu yang tepat.

Bagaimanapun untuk memastikan ia menjadi realiti, Baddrol perlu menang dalam PRN nanti dan pastinya kerjasama antaranya dan Sanusi akan menjadi kunci kepada kejayaan mereka.

Dalam pada itu, biarpun ada pihak yang merasakan pemain itu masih mempunyai tempoh beberapa tahun lagi boleh beraksi di pentas tertinggi bola sepak, mungkin tawaran atau janji oleh Sanusi yang serius mahu mengembalikan kegemilangan bola sepak di negeri itu membuatkan beliau nekad untuk bersara sebagai pemain bola sepak profesional.

Malah jika Baddrol dilantik sebagai Presiden KFA kelak, pastinya ia akan mendapat sokongan penuh daripada peminat Sang Kenari.

Apa pun sama-sama kita nantikan perkembangan terkini mengenai perkara ini samada beliau akan bertanding atau tidak dan di mana beliau akan bertanding.

Selamat maju jaya diucapkan kepada Kapten Marvel!