Jika Michelle Chai dan para pemain pernah diberikan peluang kenapa bukan Misbun Sidek?

105

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) masih lagi buntu dalam menentukan nasib Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Badminton Remaja iaitu Datuk Misbun Sidek yang sepatutnya diputuskan sejak minggu lepas lagi.

Keputusan pemecatan itu adalah berikutan ahli majlis BAM yang tidak berpuas hati dengan prestasi semasa skuad remaja di Kejohanan Badminton Remaja Asia di Yogyakarta, Indonesia sebelum ini.


Persoalan yang masih menjadi tanda tanya adalah sekiranya para pemain badminton negara seperti Lee Zii Jia dan Ng Tze Yong yang masih digesa untuk diberikan masa tambahan sebelum kembali mendapatkan rentak sebenar berikutan prestasi hambar pada kejohanan Terbuka Korea.

Begitu juga dengan Michelle Chai yang sebelum ini pernah meletakkan jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) di dalam Akademi Badminton Malaysia (ABM).

Peletakkan jawatan itu adalah susulan selepas prestasi mengecewakan skuad muda badminton wanita dalam edisi Sukan SEA Kemboja pada bulan Mei lepas tetapi kini beliau bakal dilantik semula dengan peranan baru di dalam BAM.

Peluang yang diberikan kepada individu lain sewajarnya perlu diberikan juga kepada Misbun yang jelas memerlukan lebih masa sebelum boleh menuai hasilnya.

Jurulatih berpenggalaman yang pernah membawa pemain perseorangan No.1 dunia iaitu Datuk Wira Lee Chong Wei itu pasti telah mempunyai perancangan yang rapi untuk membaiki prestasi yang tidak menentu skuad badminton remaja negara.

Ruang dan peluang perlu diberikan oleh BAM kepada Misbun memandangkan beliau merupakan orang yang tepat serta berpotensi dimiliki negara untuk menjawat jawatan tersebut.