Dua kali sebelum ini saya berjaya memujuk Bojan untuk tetap bersama KL City FC tetapi tidak untuk kali ini – Stanley Bernard

671

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KL City FC, Stanley Bernard terpaksa akur dengan keputusan yang diambil oleh bekas pengendali kelab itu Bojan Hodak yang mahukan cabaran baru bersama kelab dari Liga 1 Indonesia Persib Bandung.

Stanley yang sebelum ini pernah mencuba untuk memujuk jurulatih dari Crotia itu untuk terus kekal bersama kelab The City Boys, namun tidak berjaya kerana Hodak nekad dengan keputusannya.


“Dua kali sebelum ini saya berjaya memujuk Bojan untuk tetap bersama KL, tetapi tidak untuk kali ini,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Antara tawaran yang pernah Bojan terima adalah pada tahun pertama bersama KL City selepas menjuarai Piala Malaysia 2021 dan tawaran berikutnya selepas pencapaian cemerlang di Piala AFC apabila berjaya menjadi naib juara.

Selepas tiga musim mengharungi Liga Super Malaysia, persetujuan bersama diantara Hodak dan kelab itu akhirnya mendapat kesepakatan dan pihak pengurusan merelakan pemergian pengendali berpenggalaman itu.

Peralihan buat pasukan dalam kem KL City itu merupakan satu keputusan besar buat kelab tersebut lebih-lebih lagi dengan legasi yang telah ditinggalkan kepada kelab itu pada satu tahap yang tinggi.

Bagaimanapun, pengganti Hodak juga bukan calang-calang kerana beliau merupakan orang kuat Hodak sebelum ini iaitu Nenad Bacina sekaligus akan menyaksikan tiada perubahan ketara akan dilakukan kerana pengendali baru itu akan terus perkara sama seperti sebelum ini.

Dalam pada itu, Stanley berkata pelantikan Nenad sebagai ketua jurulatih baru adalah cadangan daripada Hodak sendiri.

“Coach sendiri yang menelefon Nenad, ada kesinambungan dan juga ideologi Nenad yang bekerja lapan tahun dibawah Bojan akan berterusan.”

Berikutan perubahan ketua jurulatih yang berlaku, KL City dijangka akan terus kekal dengan corak permainan sama dan akan perbaiki kelemahan untuk memantapkan skuad bagi mengharungi baki saingan Liga Super dan Piala Malaysia.