Alif Ikmalrizal sendiri faham yang ini merupakan peluang untuk dia menyerlah – Manzoor Azwira

140

Ketua jurulatih Penang FC, Manzoor Azwira tagih khidmat pemain muda mereka Alif Ikmalrizal buat perlawanan-perlawanan mendatang berikutan persembahan yang sangat baik ditunjukkan pemain tersebut.

Perancangan Manzoor yang membawa masuk pemain berusia 21 tahun itu pada babak kedua tampak membuahkan hasil buat Penang apabila berjaya menyumbang satu gol harapan untuk merapatkan jurang selepas ketinggalan 2-0 sebelum itu.


Jurulatih berusia 46 tahun itu menganggap semangat yang ditonjolkan oleh Alif dalam perlawanan malam tadi merupakan satu peluang yang baik untuk beliau menyerlahkan dirinya selain membalas kepercayaan barisan kejurulatihan yang memberinya peluang turun beraksi.

“Satu perkara yang baik untuk Alif dan pasukan, pemain muda yang bermain baik dan beliau membalas kepercayaan yang diberi oleh kelab dan beliau sendiri faham yang ini merupakan peluang untuk dia menyerlah dan saya rasa harap beliau akan terus dapat bermain cemerlang dan membalas kepada pasukan,”

katanya.

Di samping itu, Manzoor turut memberitahu meskipun beliau sudah menunjukkan prestasi yang baik namun beliau mempunyai perancangan yang khusus disediakan buat pemain-pemain muda sebegini bagi memastikan mereka sentiasa bersedia dan tidak dilanda kecederaan akibat daripada tekanan.

“Untuk pemain muda sebegini kita akan jadikan sebagai pelapis buat pemain-pemain utama kerana kita perlu ada perancangan dalam perkembangannya bagi mengelakkan tekanan yang tinggi sekaligus nanti boleh menyebabkan kecederaan dan saya harapa dia meningkat daripada perlawanan ke perlawanan.”

Dalam pada itu, pengendali skuad Harimau Kumbang itu juga mengulas tentang prestasi dan kesediaan pemain negara yang baru pulang ke tanah air daripada Liga 2 Korea Selatan, R. Kogileswaran yang diturunkan semasa baki permainan tinggal 30 minit.

“Kogi baru sertai kami seminggu, dan saya difahamkan sudah dua bulan tidak bermain perlawanan kompetitif, jadi saya masukkan dia bermain 30 minit untuk elakkan kecederaan dan beransur-ansur meningkatkan keyakinan beliau.”