Saya tahu bukan senang dapatkan tempat di skuad kebangsaan – R. Kogileswaran

181

Pemain serangan sensasi tanah air yang pulang ke tanah air selepas berkelana ke Korea Selatan, Kogileswaran Raj akui keberadaan pemain-pemain ternama tanah air dalam skuad kebangsaan memberi kesukaran untuknya mendapatkan tempat.

Kogileswaran atau lebih dikenali dengan panggilan Kogi kini pulang ke tanah air dan membuat penampilan pertamanya bersama Penang FC di Stadium Bandaraya Pulau Pinang malam tadi ketika menentang Sabah FC.


Pemain berusia 25 tahun itu juga menyifatkan perebutan tempat di posisi serangan skuad kebangsaan agak sedikt sukar apabila beliau perlu bersaing dengan pemain-pemain terbaik Liga Super Malaysia.

“Saya mahu tambah baik permainan saya, dan saya tahu bukan senang nak dapatkan tempat di skuad kebangsaan kerana banyak muka-muka baru seperti Endrick dan Paulo Josue di posisi saya bermain,

Tetapi saya akan buat yang terbaik untuk Penang FC dan kalau dapat panggilan saya akan buat yang terbaik buat Malaysia,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Selain itu, beliau yang tampil hanya 30 minit dalam perlawanan sebentar tadi memaklumkan bahawa ia sudah dirancang oleh barisan kejurulatihannya sesuai dengan permintaannya disebabkan masih belum cukup cergas untuk bermain sepenuhnya.

“Daripada awal tiba di Penang dahulu saya sudah berbincang dengan jurulatih bahawa saya punya kecergasan tidak mencukupi kerana risau jika bermain perlawanan penuh saya akan mengalami kecederaan.”

Dalam pada itu, Kogi juga enggan mendedahkan sebab utama beliau kembali pulang ke tanah air selepas beraksi beberapa bulan bersama kelab di K2 League.

Menurutnya, beliau tidak mahu membuka cerita mengenai perkara itu bimbang ditimpa masalah lain pula selepas ini.