Ifedayo Olusegun, Romel Morales boleh jadi penyelesaian Harimau Malaya di bahagian serangan

423

Dua penyerang import sensasi Liga Malaysia, Ifedayo Olusegun dan Romel Morales mencatatkan persembahan yang memberangsangkan untuk membantu pasukan masing-masing mencatatkan kemenangan.

Ifedayo menjaringkan gol tunggal perlawanan untuk Kedah Darul Aman FC yang sukar untuk menembusi gawang Kuching City FC, manakala Morales pula meledak hatrik ketika menewaskan Kelantan 5-1.


Sejak kembali mewarnai saingan Liga Super bersama pasukan Kedah, Ifedayo sudah menjaringkan empat gol dalam tiga perlawanan liga sahaja, menunjukkan sentuhan berbisanya yang pernah ditunjukkan bersama Selangor satu ketika dahulu masih tidak padam.

Morales pula pada musim ini sudah mencatatkan tujuh gol dan satu bantuan gol dalam 15 penampilan liga, serta dua gol dalam empat penampilan di Piala FA.

Selain mempunyai persamaan dalam mendatangkan bahaya kepada barisan pertahanan lawan, kedua-dua pemain ini juga sudah mencapai lima tahun beraksi di Liga Malaysia, dan boleh dinaturalisasikan.

Bagi Morales, difahamkan pihak KL City sedang berusaha untuk menyiapkan proses dokumentasi beliau untuk menjadi warganegara Malaysia, manakala Ifedayo pula sebelum ini pernah meluahkan hasratnya untuk berbakti kepada negara ini dengan menyarung jersi Harimau Malaya.

Dengan ketandusan penyerang tempatan di barisan serangan Harimau Malaya ketika ini, kedua-dua pemain ini dilihat boleh menjadi penggempur utama untuk ketua jurulatih, Kim Pan-gon, lebih-lebih lagi saingan Piala Asia 2023 kini sudah semakin hampir.

Kelab masing-masing boleh mengambil tanggungjawab ini dengan memastikan proses naturalisasi kedua-dua pemain itu berjalan lancar dan pantas supaya kedua-duanya boleh diuji dalam aksi persahabatan akan datang.

Lagipun, ini boleh ‘menjimatkan’ kuota import pasukan masing-masing yang boleh digunakan untuk mengambil pemain import lain.

Sekiranya Ifedayo dan Morales sudah boleh menyarung jersi Harimau Malaya, ia boleh memperbanyakkan lagi pilihan Pan-gon di bahagian serangan selain Darren Lok dan Syafiq Ahmad, yang ada kalanya tidak begitu memberangsangkan apabila diturunkan.

 Jika prestasi yang ditunjukkan dalam saingan liga musim ini dibawa bersama pasukan negara, Malaysia akan memiliki dua penyerang berbisa untuk beraksi di Piala Asia 2023.

Please rotate your device
Continue in browser
To install tap Add to Home Screen
Add to Home Screen