Alfredo Vera sendiri tak yakin Kelantan FC akan terselamat, adakah jodohnya dengan TRW bakal tidak kekal lama?

283

Ketua jurulatih Kelantan FC, Angel Alfredo Vera masih belum berjaya mencatatkan kemenangan dalam empat perlawanan sejak mengambil alih Kelantan FC pada hujung bulan lalu.

Kekalahan terbaru 5-1 ke atas KL City FC baru-baru ini, menyaksikan Kelantan kekal di tangga tercorot dengan hanya lima mata daripada 18 perlawanan.


Malah jurulatih yang berasal dari Argentina itu juga sudah seakan-akan mengangkat bendera putih dengan nasib pasukannya musim ini dan sudah bersedia untuk beraksi dalam saingan Liga M3.

Memetik laporan media, beliau mengakui agak sukar untuk anak buahnya keluar daripada zon penyingkiran dengan berbaki hanya lapan perlawanan.

Malaysian Football League (MFL) sebelum ini mengumumkan bahawa dua pasukan tercorot berpotensi untuk tersingkir ke saingan Liga M3.

Walaupun jarak mata antara empat pasukan tercorot tidaklah begitu jauh dengan Perak di tangga ke-11 dengan 13 mata, Kelantan United di tangga ke-12 dengan lapan mata dan kemudian Kuching City dengan tujuh mata, Alfredo Veda tetap tidak yakin dengan kemampuan pasukannya.

Adakah nasibnya bersama pasukan Kelantan tidak akan kekal lama sekiranya Kelantan terus menampilkan aksi longlai dalam lapan perlawanan terakhir ini?

Pastinya pemilik pasukan, Zamsaham tidak akan gembira jika pasukan itu diturunkan divisyen selepas bersusah payah membawa pasukan itu layak ke Liga Super.

Mengikut nasib jurulatih sebelum ini iaitu Frank Bernhardt, beliau telah direhatkan selepas lapan perlawanan, dengan hanya satu kemenangan dicatatkan.

Zamsaham pernah berkata bahawa Bernhardt hanya diberikan ‘kuota’ lima kekalahan jika tidak beliau akan dipecat.

Justeru,kedudukan Alfredo Vera juga mungkin tidak selamat sekiranya beliau masih gagal menjelmakan kemenangan untuk pasukan itu.

Baki lapan perlawanan Kelantan selepas ini adalah menentang Negeri Sembilan, Terengganu, Selangor, Sabah, Perak, PDRM dan Kelantan United, dan jika keputusan pusingan pertama menjadi kayu ukur, Kelantan berada dalam bahaya kerana mereka tewas kepada semua lawan tersebut.