Perpindahan ke Kedah Darul Aman FC beri sinar harapan baru buat J. Partiban

453

Setelah lama berehat ekoran kecederaan panjang, pemain sayap KL City FC iaitu J. Partiban telah mengambil keputusan untuk berhijrah ke Kedah Darul Aman FC (KDA FC) bagi mencari semula rentak permainnya.

Penghijrahan Partiban boleh dikatakan memberi sinar harapan baru buat pemain itu selepas kurang mendapat tempat ketika bersama skuad The City Boys apabila baru membuat penampilan sebanyak lima perlawanan sahaja dengan satu gol.


Mungkin peminat KDA terkejut dengan kemasukan pemain berusia 30 tahun itu, namun mereka perlu beri kepercayaan penuh kepada percaturan ketua jurulatih Nafuzi Zain yang pastinya mempunyai alasan tersendiri membawa pemain itu.

Kehadiran Partiban akan mengisi tempat kosong yang ditinggalkan oleh Lee Tuck dan Al-Hafiz Harun yang meninggalkan pasukan pada jendela perpindahan kedua baru-baru ini.

Dibawah bimbingan Nafuzi, mungkin beliau bakal kembali pada prestasi sebenarnya kerana beliau sebelum ini merupakan seorang pemain yang cukup berkualiti.

Beliau juga mempunyai rekod yang agak cemerlang apabila pernah membantu KL City menjadi juara Piala Malaysia 2021, naib juara Liga Perdana (2017) dan Piala Malaysia (2018) ketika bersama Terengganu serta naib juara Piala FA pada tahun 2019 ketika bersama Perak FC.

Tidak hanya mempunyai pengalaman luas dalam saingan domestik, beliau juga mempunyai pengalaman beraksi di pentas Asia apabila berjaya bantu KL City menjadi naib juara Piala AFC 2022.

Dengan pengalaman yang ada, beliau mungkin mampu menambah sengat dibahagian sayap Sang Kenari yang tampak sedikit tumpul sepanjang pusingan pertama Liga Super musim ini.

Skuad Hijau Kuning kini berada di kedudukan ketiga liga dengan hanya ketinggalan tiga mata di belakang Selangor FC tetapi mempunyai kelebihan satu perlawanan.

Biarpun KDA tidak meletak sasaran tinggi musim ini berikutan rombakan pasukan musim ini, namun dengan situasi ketika ini di mana slot ke Piala AFC terbuka untuk kedudukan kedua liga selepas Johor Darul Ta’zim (JDT) berjaya menjuarai Piala FA, pastinya peluang ini akan digunakan sepenuhnya untuk sekali lagi layak ke kejohanan itu.

Peminat dijangka dapat menyaksikan Partiban turun beraksi pada perlawanan Piala Malaysia menentang Perak FC pada Khamis ini.