Piala Malaysia adalah peluang untuk pemain pikat kelab Liga Super – Wan Mustaffa Wan Ismail

136

Ketua jurulatih KL Rovers FC, Wan Mustaffa Wan Ismail mahu anak-anak buahnya menjadikan saingan Piala Malaysia sebagai platform untuk mereka membuktikan kemampuan bagi memikat pasukan-pasukan besar dalam Liga Super.

Katanya, para pemain mempunyai peluang untuk mendapatkan kontrak dengan pasukan besar sekiranya mereka tampil dengan permainan meyakinkan dalam aksi Piala Malaysia.


KL Rovers bakal menanti kunjungan Terengganu FC pada perlawanan pertama pusingan 16 terakhir Piala Malaysia esok.

“Saya kata kepada para pemain bahawa ini adalah peluang untuk mereka tunjukkan bakat, dan harap ada pasukan besar dalam Liga Super yang nampak kebolehan mereka dan berikan kontrak.

Untuk kami sendiri tiada sasaran kerana sudah mencapai KPI untuk pasukan tetapi mereka boleh jadikan saingan Piala Malaysia sebagai peluang untuk diri sendiri,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Untuk perlawanan esok, beliau berkata bahawa mereka perlu berusaha sebanyak dua kali ganda kerana akan menentang pasukan yang kuat seperti Terengganu, lebih-lebih lagi dengan bantuan pemain import.

Jelasnya, para pemain sudah berasa teruja untuk turun pada perlawanan esok dan beliau mahu memastikan bahawa KL Rovers mampu memberi saingan dan bukan sekadar pelengkap jadual.

“Kita kena usaha dua kali ganda, kami harus pastikan mereka tidak diberi ruang untuk bermaharaja lela di kawasan kami.

Persedian setakat ini berjalan dengan baik, semuanya sudah bersedai dari segi mental dan fizikal, para pemain juga turut teruja untuk bermain di Piala Malaysia.”

Beliau mengharapkan sokongan daripada peminat esok untuk memberi semangat kepada para pemain mencipta kejutan dalam perlawanan itu.