Sumbangan pemain senior amat membantu sehingga kami berjaya jadi pendahulu liga – Firdaus Faudzi

215

Kapten pasukan KL Rovers FC, Firdaus Faudzi menganggap kehadiran pemain-pemain berpengalaman seperti Gopi Rizqi dan Amer Saidin banyak membantu pemain-pemain muda dalam pasukan itu.

Jelasnya, mereka sentiasa berkongsi pengalaman dan ilmu kepada pemain muda sehingga mereka kini berada di puncak Liga M3.


“Sumbangan pemain-pemain senior seperti Amer dan Gopi memang amat membantu terutama untuk pemain muda sehingga kita berjaya mendahului saingan liga.

Pemain muda pun selalu bertanya dan meminta pendapat daripada mereka untuk memperbaiki permainan masing-masing,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Mengenai perlawanan pusingan pertama pusingan 16 terakhir Piala Malaysia menentang Terengganu FC esok, Firdaus berkata bahawa tiada tekanan buat mereka pada perlawanan itu.

Baginya, melayakkan diri ke saingan Piala Malaysia juga sudah boleh dianggap sebagai kejayaan untuk KL Rovers.

“Kita memang tiada sasaran pun untuk melangkah ke Piala Malaysia tetapi dengan komitmen yang diberikan semua pemain kita berjaya juga.

Bagi kami tiada tekanan untuk perlawanan esok kerana sampai di tahap ini pun sudah menjadi satu kejayaan besar.”

Beliau berkata bahawa mereka akan cuba memberikan tentangan yang sengit buat Terengganu pada perlawanan itu.