Yakinilokal! P. Maniam bangga dengan prestasi pemain yang pamer aksi cemerlang, hampir ikat Sri Pahang FC

183

Ketua jurulatih Harini FT, P. Maniam bangga dan berpuas hati dengan persembahan keseluruhan pemain-pemainnya walaupun mereka tewas 3-2 kepada Sri Pahang FC dalam perlawanan pertama Piala Malaysia malam tadi.

Menurut P. Maniam, walaupun kesemua pemainnya adalah pemain tempatan tapi mereka berjaya beri saingan cukup sengit kepada pasukan lawan yang mempunyai ramai pemain import.


“Sekali lagi Yakinilokal kerana mahu guna semua pemain tempatan tapi apa yang membezakan kami adalah setiap pemain menunjukkan satu komitmen yang cukup tinggi dan mereka bermain sebagai satu pasukan, dan dari situ kita akan dapat lihat perbezaan.

Perlawanan menentang Sri Pahang kesemua pemain memberikan aksi terbaik dan menunjukkan satu persefahaman dan banyak mencipta peluang serta menjaringkan gol kerana bukan mudah menentang pasukan Top 5 Liga Super, jadi secara keseluruhan saya sangat berpuas hati,”

katanya.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi menyaksikan Harini FT melakukan aksi permainan yang cukup menakjubkan apabila bangkit dari ketinggalan dua gol untuk menyamakan kedudukan dan hampir mengikat gergasi Pantai Timur itu.

Namun sedikit kesilapan di penghujung perlawanan telah dihukum apabila skuad Tok Gajah berjaya menjaringkan gol kemenangan.

Dalam pada itu, bekas pengendali PJ City FC ini berkata sekiranya pemainnya terus mempamerkan aksi seperti malam tadi, pastinya mereka tiada masalah untuk memperoleh kemenangan dalam saingan Liga M3.

“Kita dapat lihat jika kita dapat bermain seperti malam ini saya rasa untuk saingan Liga M3 kita tidak ada masalah untuk memperoleh kemenangan.”

Harini FT selepas ini akan menentang juara bertahan PIB FC pada 8 Ogos ini untuk terus menghambat pendahulu liga KL Rovers yang kini dibezakan dengan tiga mata sahaja.

Please rotate your device
Continue in browser
To install tap Add to Home Screen
Add to Home Screen