Walaupun kita bermain tanpa import, tapi kita berjaya beri saingan pada Sri Pahang FC – Mat Yo

1,682

Penyerang sensasi Harini FT, Norshahrul Idlan Talaha cukup bangga dengan persembahan yang dipamerkan oleh rakan sepasukannya apabila mereka hampir mengikat Sri Pahang FC sebelum terpaksa akur dengan gol di saat-saat akhir yang menyaksikan mereka tewas 3-2 pada perlawanan pertama Piala Malaysia malam tadi.

Menurut Norshahrul atau lebih dikenali dengan panggilan Mat Yo, walaupun mereka bermain tanpa pemain import tapi mereka beri saingan sengit kepada pasukan lawan.


“Di atas kertas Sri Pahang mempunyai kelebihan kerana mereka adalah pasukan dari Liga Super, manakala kami pula dari Liga M3 tapi kita cuba juga beri saingan sengit walaupun kita beraksi tanpa pemain import.

Pada malam ini, pemain-pemain Harini FT memperlihatkan kesungguhan dan semangat yang cukup tinggi yang mana kita berjaya bangkit dari ketinggalan dua kosong untuk menyamakan kedudukan.

Bagaimanapun sedikit kesilapan di saat-saat akhir menyebabkan kita kalah,”

katanya.

Tambahnya lagi, bermain sebagai pasukan ‘underdog’ membuatkan setiap pemain akan memberikan komitmen lebih 100% dalam setiap perlawanan tidak kira bermain di Piala Malaysia atau pun di Liga M3.

Dalam pada itu, bekas penyerang Harimau Malaya itu turut bersyukur apabila berjaya mencatat nama sebagai penjaring gol pada malam tadi.

“Bagi saya menjaringkan gol ada rezeki daripada Allah SWT. Setiap kali saya masuk padang saya akan beri 100% untuk bantu pasukan pergi dengan lebih jauh lagi.”

Dalam pada itu, Mat Yo menyedari tugas sukar menanti mereka pada perlawanan kedua Piala Malaysia di Stadium Darul Makmur nanti, namun beliau tetap bersikap optimis dengan berkata mereka akan pamer aksi terbaik untuk cuba dapatkan keputusan positif.

“Nak menang di Kuatan memang susah kerana seperti yang saya cakapkan tadi iaitu kami adalah pasukan ‘underdog’ tapi kita akan cuba bagi saingan pada pasukan Sri Pahang.

Tak mustahil kitab oleh menang kerana dalam bola sepak apa sahaja boleh terjadi, jadi kita akan buat yang terbaik nanti.”