Tiada lagi Kuaci dan Trumpet dalam Stadium Darul Aman

117

Inisiatif Perbadanan Stadium Negeri Kedah Darul Aman yang melarang membawa masuk Kuaci dan Trumpet ke dalam Stadium Darul Aman dilihat sebagai satu langkah kehadapan bagi menjaga keharmonian serta kebersihan gelanggang keramat mereka.

Kuaci yang telah dimasukkan dalam senarai makanan larangan dilihat mampu mengawal sikap penonton yang gemar membuang kulit makanan tersebut merata-rata dan kesannya akan memberikan imej yang buruk kepada kebersihan stadium terutamanya selepas perlawanan.


Walaupun makanan berkenaan umpama satu tradisi buat semua penonton di Malaysia ketika melihat perlawanan bola sepak, tetapi budaya tersebut perlu diubah dengan segera demi kebaikan para penonton yang hadir untuk bersama-sama menjaga kebersihan stadium.

Dalam masa yang sama pihak stadium juga perlu menyediakan inisiatif lain sebagai makanan buat penyokong yang hadir justeru pada waktu yang sama mampu menambah pendapatan kelab.

Begitu juga dengan Trumpet yang mampu membawa kepada pencemaran bunyi dan memberi kesan kepada pendengaran amnya buat penonton yang membawa anak kecil di stadium untuk menonton bola sepak.

Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) boleh mengambil inisiatif ini sebagai langkah positif dalam menjaga imej Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) agar sentiasa kelihatan bersih justeru menjadikan stadium sebagai tempat mesra penyokong.

Dengan dijangkakan berlangsungnya Kejohanan Pestabola Merdeka pada Oktober ini di SNBJ nanti, langkah tersebut boleh diterapkan sebagai permulaan awal sebelum lebih banyak lagi inisiatif mula diperkenalkan sebagai langkah menjaga kemakmuran stadium.

Dasar ini dilihat wajar menjadi contoh buat pasukan lain bagi mengawal masalah kebersihan dan keharmonian di dalam dan luar stadium serta dapat membentuk budaya sokongan yang lebih sihat di masa akan datang.