Baddrol Bakhtiar untuk Presiden KFA yang baru?

657

Berakhir sudah Pilihan Raya Negeri (PRN) semalam yang menyaksikan bekas kapten pasukan kebangsaan, Kedah Darul Aman FC dan Sabah FC iaitu Baddrol Bakhtiar telah mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya memenangi kerusi yang dipertandingkan.

Mewakili parti Perikatan Nasional (PN), Baddrol yang bertanding di N22 Gurun tidak berdepan masalah besar untuk menewaskan lawannya Firdaus Johari dari parti Pakatan Harapan (PH) dengan majoriti 6584.


Kejayaan itu juga menyaksikan Baddrol menjadi pemain bola sepak yang masih aktif pertama di dunia untuk memenangi pilihan raya.

Terdahulu beliau mengejutkan dunia bola sepak tanah air apabila mengambil keputusan untuk menamatkan kontraknya pada jendela perpindahan kedua kerana mahu terjun ke dunia politik.

Antara faktor utama beliau berbuat demikian adalah kerana mahu mempertahankan kepimpinan Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi Md Nor serta memperjuangkan agama dan bangsa.

Tidak dinafikan, Baddrol tidak mempunyai pengalaman atau kepakaran dalam dunia politik, namun apa yang boleh disumbang kepada negeri tercintanya adalah ilmu dan pengalaman luasnya dalam dunia bola sepak tanah air.

Walaupun tiada sebarang pengesahan apa yang dijanjikan oleh Sanusi kepada Baddrol untuk terjun ke dunia politik, namun jika dilihat secara realistiknya pastinya beliau dijanjikan jawatan dalam pengurusan bola sepak Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA).

Dengan pengalaman bola sepak dalam dan luar negara, beliau dilihat mampu meningkatkan pembangunan bola sepak di negeri itu.

Ini kerana semua sedia maklum bahawa Kedah merupakan antara negeri yang melahirkan ramai pemain bola sepak berkualiti, namun sejak beberapa tahun kebelakangan ini negeri Jelapang Padi itu tampak sendu apabila tidak banyak produk dari negeri itu dapat tempat dalam saingan liga tertinggi negara.

Memandangkan PN yang diterajui oleh Sanusi kembali menguasai Kedah, tidak mustahil untuk melihat dalam masa terdekat mungkin akan ada perubahan dalam pucuk kepimpinan badan induk bola sepak di negeri itu.

Adakah Baddrol akan dilantik sebagai Presiden KFA yang baru? Sama-sama kita tunggu dan lihat.