Kemelut gaji punca prestasi tidak konsisten skuad Negeri Sembilan musim ini?

2,842

Berikutan perkongsian pemain bola sepak Negeri Sembilan FC, Zaquan Adha dalam laman rasmi Instagramnya umpama membongkar kemelut sebenar yang sedang melanda kem Hoben Jang Hoben ketika ini dengan masalah pembayaran gaji para pemain.

Bekas penyerang Harimau Malaya yang sedang berada dalam tempoh pemulihan selepas mengalami kecederaan Ligamen Krusiata Anterior (ACL) buat kali kelima itu seakan tidak berpuas hati dengan pihak pengurusan pasukannya yang seolah-olah mempertikaikan soal gaji beliau.


Prestasi skuad Negeri Sembilan musim ini juga seolah-olah hilang arah dengan hanya mencatatkan empat kemenangan sahaja dalam liga berbanding musim sebelumnya dengan berjaya menduduki tempat keempat secara keseluruhan dalam saingan Liga Super 2022.

Tambahan pula, kekalahan menentang kelab Kelantan FC pada perlawanan baru-baru ini juga membuktikan bahawa prestasi kelab itu kini yang sedang merosot.

Malah, selepas satu persatu pemain yang meninggalkan kelab tanpa pengganti baharu terus meninggalkan tanda tanya.

Ketua jurulatih Negeri Sembilan, K. Devan sebelum ini juga terpaksa akur selepas tiada pemain import baru yang bakal menguatkan barisan pemainnya selepas kehilangan tonggak import utamanya satu persatu.

Kekurangan pemain berkualiti semestinya akan memberikan kesan kepada pasukan itu untuk menghabiskan baki saingan liga di kedudukan yang lebih baik.

Malah, sebilangan penyokong tegar Negeri Sembilan kini mula bersuara di media sosial dan tidak berpuas hati dengan pihak pengurusan yang dikhabarkan tidak profesional dalam menjelaskan pembayaran gaji para pemain hingga menyebabkan prestasi mereka merundum jatuh.

Sekiranya Negeri Sembilan ingin menghabiskan liga dengan kedudukan di tempat yang lebih baik pada musim ini, maka masalah asas seperti tunggakan gaji perlu diselesaikan dengan segera agar bebanan itu tidak memberikan impak kepada prestasi para pemain mereka.