Tak salah pemain lepak mamak, ia satu cara mereka ‘bonding’ – Stanley Bernard

327

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KL City FC, Stanley Bernard menganggap gambar tular para pemain kelab itu yang dilihat duduk bersama di restoran mamak bukanlah sesuatu yang perlu diperbesarkan.

Beliau melihat dari sudut positif bahawa ia menunjukkan hubungan pemain yang rapat bukan sahaja ketika di kelab tetapi juga di luar.


“Sejujurnya saya lihat menerusi gambar itu menunjukkan pemain sedang dalam sesi ‘bonding’, saya rasa ia satu usaha yang baik kerana saya pernah bermain di kelab yang berpuak-puak, tidak semua pemain rapat.

Kita tak boleh tukar budaya mamak kita, bagi saya berada di sana tiada masalah, apa yang mereka makan adalah di bawah kawalan mereka, tetapi saya lihat mereka menunjukkan prestasi yang baik jadi tiada masalah mengenai ini,”

katanya.

Semalam, gambar yang dimuatnaik oleh salah seorang pemain KL City, Giancarlo Gallifuoco yang menunjukkan para pemain sedang duduk beramai-ramai di restoran mamak tular dengan rata-rata netizen menyifatkan bahawa atlet sepatutnya menjaga pemakanan mereka dan tidak makan di tempat seperti itu

Dalam pada itu, beliau turut menjawab mengenai khabar angin yang mengatakan bahawa KL City mempunyai masalah kewangan dan tunggakan gaji.

Jelasnya, perkara itu sudah biasa dalam ekosistem bola sepak dan menganggap bahawa ia adalah cabaran buat pasukan yang sedang meningkat seperti KL City.

“Bila saja isu seperti ini tidak ada dalam bola sepak Malaysia? Jika satu sistem mengalami masalah ini jadi kita perlu melihat ia dari sudut yang lebih besar, saya juga akui KL City sebahagian daripada ekosistem ini.

Tetapi kita adalah antara kelab yang paling jujur, jika ada kelewatan atau masalah kita tidak pernah sembunyi, apa yang anda dengar itu adalah cabaran bukannya masalah, tetapi cabaran seperti inilah yang jadikan kelab ini unik dengan kejayaan yang dikecapi.”