Saya harap pemain muda KL City FC kembangkan bakat mereka di luar negara seperti Iran – Nenad Bacina

142

Ketua jurulatih KL City FC, Nenad Bacina berharap jalinan kerjasama antara kelab itu dan kelab dari Iran, Sepahan SC bakal membuka ruang buat pemain-pemain muda mengembangkan sayap mereka ke Liga Iran.

Selain itu, beliau juga menyifatkan bahawa KL City boleh belajar tentang banyak perkara seperti budaya bola sepak dan profesionalisme daripada kelab itu.


“Saya mahu lihat pemain-pemain muda tunjukkan cita-cita dan cuba kembangkan diri mereka di negara lain, Iran adalah salah satu negara bola sepak yang besar, saya harap kita boleh beri pendedahan kepada pemain kita lebih-lebih lagi pemain muda untuk ke sana.

Kita ada beberapa pemain muda berbakat seperti Haqimi Azim dan Saravanan, mungkin kelab boleh hantar skuad belia menyertai kejohanan di sana,”

katanya.

Beliau mengakui tahap bola sepak di Iran adalah lebih baik di Malaysia dan banyak perkara yang boleh diperlajari daripada kerjasama itu.

Dalam pada itu, beliau berkata bahawa para pemain sudah semakin memahami gaya permainan yang mahu diterapkan olehnya.

“Setakat ini kita catatkan dua kekalahan dan satu kemenangan sejak saya mengambil alih, saya gembira dengan apa yang ditunjukkan oleh pemain dalam mengadaptasi gaya permainan saya.

Tetapi ia tidak banyak beza daripada jurulatih sebelum ini kerana saya juga berada dalam pasukan ini sebagai pembantu jurulatih.”

Katanya, mereka harus realistik dengan apa yang ingin dicapai dalam liga musim ini, dan akan cuba pergi sejauh mungkin dalam saingan Piala Malaysia.