Ke mana destinasi Mat Yo selepas ini?

978

Bekas pemain kebangsaan Norshahrul Idlan Talaha sehingga kini dilaporkan masih belum menandatangani kontrak dengan mana-mana pasukan untuk musim 2022.

Baru-baru ini, Norshahrul atau lebih dikenali dengan panggilan Mat Yo dikatakan tidak menyambung kontrak bersama pasukan Sarawak United FC kerana sedang dalam rundingan bersama bekas pasukan lamanya iaitu Kelantan FC.


Bagaimanapun Mat Yo tampil menyangkal dakwaan tersebut sambil menyindir pengurusan Kelantan ‘kalau marketing lebih dari betul saya tak minat. Hidup saya sebagai pemain bola sepak lebih pada hasilnya dari marketing‘.

Selain Kelantan, Mat Yo juga mendedahkan beliau juga sedang membuat rundingan dengan beberapa pasukan lagi termasuklah Kedah Darul Aman FC (KDA FC).

Sumber foto: FAM Facebook

Perkara itu disahkan oleh kelab penyokong Kedah iaitu Kedahan Green Yellow ketika mereka hadir dalam perjumpaan pihak pengurusan Kedah bersama penyokong.

Dalam intipati perjumpaan tersebut menyatakan Mat Yo telah menawarkan diri untuk bermain bersama pasukan Kedah tetapi pihak pengurusan terpaksa menolak kerana skuad untuk musim ini sudah lengkap.

Jadi ke manakah destinasi Mat Yo selepas ini? Adakah beliau akan berehat seketika untuk musim ini memandangkan setiap pasukan di Liga Malaysia hampir lengkap membuat persiapan pasukan.

Melihat situasi pasukan di Liga Malaysia terutamanya dalam Liga Super, pasukan PJ City FC berkemungkinan berminat untuk mendapatkan khidmat Mat Yo memandangkan pasukan itu akan menggunakan seratus peratus pemain tempatan untuk musim ini.

PJ City FC akan mengadakan sidang media mengumumkan barisan pemain baru mereka untuk musim ini. Adakah akan ada kejutan petang nanti? Sama-sama kita tunggu.

Pada tahun 2020, nama Mat Yo menjadi sebutan peminat di rantau Asia Tenggara apabila beliau menandatangani kontrak bersama pasukan gergasi Liga Thai iaitu BG Pathum United. Sepanjang bersama pasukan itu beliau hanya mempunyai enam penampilan tanpa sebarang jaringan.

Manakala pada musim lalu beliau menyertai pasukan Sarawak tetapi hanya membuat empat penampilan dan menjaringkan satu gol.