Pemain Kota Setar Kids Football Club bagai ‘pisang goreng panas’ buat kelab-kelab besar

253

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini kewujudan akademi bola sepak memperlihatkan peningkatan seperti ‘cendawan tumbuh selepas hujan’ dan Kota Setar Kids Football Club (KSK) merupakan antara salah sebuah akademi bola sepak yang menjadi tumpuan di negeri Kedah.

KSK adalah sebuah akademi bola sepak yang berdaftar di bawah Majlis Sukan Negeri (MSN), Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dan juga Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA).


“Kami merupakan sebuah akademi yang mempunyai pelatih dari usia bawah enam tahun hingga ke 16 tahun yang mana matlamat kami adalah untuk melahirkan lebih ramai pelapis untuk negeri Kedah dan juga untuk bola sepak Malaysia.

Selain pembangunan bola sepak lelaki, KSK juga kini sedang giat untuk pembangunan bola sepak wanita juga. Ketika ini kami mempunyai lebih 300 pelatih yang terdiri dari lelaki dan wanita.

Pembangunan bola sepak wanita kami baru tubuhkan pada 2021 dan kini kami mempunyai 11 pemain wanita,”

ujar tenaga pengajar KSK iaitu Muhammad Azri kepada Harimau Malaya.

Apa yang membuatkan KSK menarik perhatian waris-waris untuk menghantar anak mereka untuk menyertai KSK kerana bukan sahaja yuran yang murah tetapi juga jumlah latihan dan kejohanan yang disertai oleh mereka.

Setiap pelatih hanya dikenakan yuran pendaftaran sebanyak RM100 dan yuran bulanan sebanyak RM20 sahaja.

Walaupun yuran bulanan yang dikenakan boleh dikatakan antara yang terendah di Malaysia, namun KSK merupakan antara akademi yang mempunyai jumlah sesi latihan yang cukup banyak iaitu 12 kali sebulan.

Tidak hanya mempunyai latihan yang banyak setiap bulan, malah pelatih-pelatih di KSK juga sering didedahkan dengan pelbagai kejohanan bagi memastikan setiap pelatih mendapat perlawanan kompetitif.

Bukan sekadar cakap kosong tetapi pasukan bawah lapan tahun KSK yang beraksi atas tiket All Star Jr Akademi Tunas Kota Setar telah berjaya muncul juara dalam Kejohanan Bola Sepak Bawah 8 Tahun Piala Akademi Gladiators (ATM) baru-baru ini.

Muhammad Azri berkata walaupun KSK baru berusia enam tahun, namun mereka telah berjaya melahirkan ramai pemain-pemain pelapis untuk negeri Kedah termasuk menarik minat kelab-kelab besar negara.

“KSK banyak melahirkan pemain-pemain untuk Akademi Tunas Kedah bagi setiap kategori umur seperti B-8, B-10 dan B-12.

Pemain-pemain KSK yang dibentuk sejak usia mud aini akan menjadi perhatian apabila mereka berusia 11 dan 12 tahun dan ketika ini ada kelab besar yang mengambil mereka.”

Sementara itu, beliau berkata sasaran dan harapan KSK untuk masa akan datang adalah untuk terus melahirkan lebih ramai pelapis-pelapis muda lelaki dan wanita berkualiti yang bukan sahaja akan bermain untuk Kedah tetapi juga menyarung jersi pasukan kebangsaan.