Inilah gambaran sebenar corak permainan yang sepatutnya kita main – Nafuzi Zain

2,078

Ketua jurulatih Kedah Darul Aman FC (KDA), Nafuzi Zain memberitahu perlawanan sengit pada malam tadi adalah gambaran sebenar corak permainan yang sepatutnya pasukannya main sekiranya mereka berjaya terjemah taktikal yang sudah diterapkan.

KDA yang turun menentang juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam Liga Super di Stadium Darul Aman mempamerkan aksi yang cukup mengujakan apabila berjaya menamatkan perlawanan dengan keputusan seri 3-3.


“Apa yang pemain tunjuk pada perlawanan malam ini adalah gambaran sebenar corak permainan yang sepatutnya kita main, percaya dengan taktikal dan pendekatan yang kita nak walaupun bertemu dengan mana-mana pasukan.

Pada malam ini keyakinan setiap pemain cukup tinggi dan tempoh perlawanan 90 minit menyaksikan kedua-dua pasukan bermain dengan intensiti tinggi,”

katanya.

Kejayaan Sang Kenari mencuri mata di laman sendiri turut menyaksikan mereka menjadi satu-satunya pasukan yang berjaya menjaringkan tiga gol sekaligus memperbaiki permainan selepas mereka tewas 6-0 pada perlawanan pusingan pertama sebelum ini.

Dalam pada itu, Nafuzi bagaimanapun enggan terlalu gembira dan selesa dengan keputusan pada malam tadi, sebaliknya menuntut anak-anak buahnya untuk teruskan momentum untuk perlawanan akan datang.

“Bagi saya satu mata malam ini memang berharga, tapi ia tidak bermakna kita akan keciciran mata selepas ini.

Saya rasa, saya rela tewas malam ni dan baki perlawanan liga kita menang semua dari kita dapat satu mata, kemudian kita keciciran mata.”

Keputusan seri pada malam tadi terus menyaksikan KDA kekal di tangga ketiga liga dengan 44 mata iaitu lima mata dibelakang Selangor FC tetapi dengan kelebihan satu perlawanan.

Sementara itu, Nafuzi turut berharap pasukannya dapat terus konsisten kerana selepas ini liga akan berehat panjang bagi memberi laluan untuk perlawanan pasukan kebangsaan.

“Perkara seperti ini kita perlu lalui juga dan cuba membiasakan diri. Kita perlu kekalkan semangat ini dan kita tidak boleh perlahankan permainan kita dan terus beri tekanan kerana jika tidak beri tekanan sesiapa pun akan senang tembusi kita.”

Beliau juga menyedari banyak lagi cabaran yang perlu dilalui mereka untuk cuba menamatkan saingan liga dalam kedudukan Top 2, tapi ia semuanya terletak pada mereka sendiri untuk pastikan matlamat tersebut dapat dicapai.