Perlawanan malam ini akan buat kita lebih rendah diri dan perlu bekerja lebih keras lagi – Esteban Solari

561

Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Esteban Solari mengakui pasukannya bermula dengan langkah kiri apabila bergelut pada perlawanan Liga Super menentang Kedah Darul Aman FC (KDA) malam tadi apabila mereka terikat 3-3.

Menurut Solari, mereka memulakan permainan dengan langkah kiri sejak dari awal perlawanan dan pasukan lawan memberikan saingan yang cukup sengit sepanjang perlawanan.


“Kami tidak bermain seperti yang sepatutnya dan kami menanggung padah pada separuh masa pertama dan separuh masa kedua pemain mula pamer karakter sebenar dan untuk bangkit dari ketinggalan 2-0 sememangnya sukar terutamanya apabila menentang pasukan seperti Kedah di tempat mereka.

Perlawanan malam ini buat kita lebih rendah diri dan kita perlu bekerja dengan lebih keras lagi bagi mempersiapkan pasukan menjelang kejohanan AFC Champions League (ACL),”

katanya.

Susulan keputusan seri pada malam tadi, JDT terpaksa menangguhkan kejuaraan Liga Super buat sementara waktu, namun Solari yakin mereka akan mengesahkan kejuaraan dalam masa terdekat ini.

Dalam pada itu, pengendali dari Argentina itu turut memberi perkembangan terkini mengenai keadaan dua tonggak utama iaitu Fernando Forestieri dan Leandro Velazquez.

“Untuk Forestieri beliau memerlukan tempoh 15 hari lagi untuk pulih jadi kita akan lihat samada beliau akan cergas sepenuhnya untuk ACL atau tidak.

Manakala Leandro pula beliau memerlukan tempoh untuk pulih yang lama yang mana saya rasa beberapa bulan untuk beliau pulih sepenuhnya.”