Saya rasa JDT pun terkejut dengan keputusan malam ini – Manuel Ott

605

Ketua pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA), Manuel Ott merasakan perlawanan menentang juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) malam tadi merupakan persembahan terbaik pasukannya sepanjang musim ini.

Ia susulan KDA berjaya mengikat JDT 3-3 dalam saingan Liga Super untuk memastikan mereka dapat membawa pulang satu mata berharga untuk terus memberi tekanan kepada pasukan atas liga.


“Saya rasa dari sudut padang pasukan, perlawanan tadi seperti persembahan terbaik pasukan untuk musim ini terutamanya pada separuh masa pertama apabila kita berjaya mendahului 1-0.

Aksi yang cukup mantap daripada kesemua pemain malam ini yang memperlihatkan keinginan yang tinggi untuk menang dan tiada siapa boleh pertikai mengenai permainan pasukan pada malam ini.

Saya merasakan JDT juga terkejut dengan keputusan malam ini dan secara keseluruhannya saya berpuas hati dan berharap kami dapat meneruskan momentum cemerlang ini untuk perlawanan akan datang,”

katanya.

Sang Kenari memulakan perlawanan dengan langkah kanan apabila berjaya mengimbangi JDT di setiap bahagian padang dan terlebih dahulu membuka akaun jaringan.

KDA terus garang pada separuh masa kedua apabila berjaya menjaringkan gol kedua, namun kealpaan dalam tempoh kurang 10 minit menyaksikan JDT berjaya menyamakan kedudukan.

Lebih parah, Harimau Selatan akhirnya mendahului apabila berjaya menjaringkan gol ketiga sebelum KDA menyamakan kedudukan di saat-saat akhir.

Dalam pada itu, Ott berharap mereka akan terus konsisten dalam baki saingan liga untuk memastikan mereka dapat menamatkan saingan liga di tangga kedua untuk melayakkan diri ke saingan Piala AFC pada tahun hadapan.

“Ini adalah satu peningkatan yang positif dan berharap kami akan terus konsisten. Seperti yang saya katakan, kami masih mempunyai sasaran yang perlu dicapai iaitu cuba menamatkan saingan liga di tangga kedua untuk bermain di Piala AFC tahun hadapan.”