Bekas atlet para cari rezeki di jalanan, salah siapa?

323

Berikutan tular di media sosial berita mengenai seorang bekas atlet paralimpik yang menjual bekas tisu di kaki lima di Bukit Bintang, timbul persoalan di mana peranan pihak berkaitan dalam membela nasib bekas atlet yang pernah mengharumkan nama negara suatu ketika dahulu?

Atlet tersebut adalah Koh Lee Peng yang merupakan bekas olahragawati paralimpik 2016. Antara sumbangan beliau kepada negara termasuklah memenangi 7 pingat emas dan 3 pingat perak di Sukan Para Asean dari tahun 2001-2005 dalam sukan renang.


Melihat situasi yang menyedihkan tersebut telah mengundang persoalan netizen adakah pihak berkenaan tidak memainkan peranan yang sepatutnya mengenai masa depan atlet negara? Dengan isu pemotongan atlet yang lalu menimbulkan lagi rasa tidak puas hati di kalangan peminat sukan tanah air.

Meskipun ada pihak yang telah ke depan dan menyatakan bantuan telah diberikan kepada Lee Peng, namun menilai semula kewajaran bentuk bantuan yang yang diperlukan beliau mungkin dalam bentuk pekerjaan yang dapat menjanjikan pendapatan tetap kepada bekas atlet para tersebut yang mengalami kesukaran untuk bekerja di luar.

Ciapan dari seorang pengguna Twitter yang tular mengenai Koh Lee Peng

Lee Peng sendiri ada menyatakan bahawa ada pihak menyatakan ingin membantunya, tapi tidak melakukan yang sedemikian. Di situ beliau memberi bayangan bahawa sering dijanjikan dengan ‘bantuan’ tapi ternyata tiada apa-apa. Dan sejak itu, kemungkinan Lee Peng mula fed up dan mengambil keputusan untuk berdikari dengan caranya sendiri.

Seharusnya pihak berkenaan perlu mempunyai pelan jangka masa panjang untuk atlet setelah persaraan mereka. Bukannya menjanjikan kehidupan yang mewah atau terlalu selesa, tapi cukuplah sekadar menjamin mereka untuk meneruskan hidup. Misalnya, dengan kepakaran Lee Peng dalam sukan renang, mungkin khidmatnya boleh digunapakai untuk membangunkan sukan renang di Malaysia.

Setelah isu ini timbul, diharapkan tiada pihak tertentu yang memanfaatkan situasi Lee Peng untuk kepentingan sendiri. Bekas atlet seperti beliau perlukan bantuan dan bukannya sekadar janji kosong semata-mata. Semoga ada sedikit rasa simpati dan niat yang ikhlas untuk membantu beliau.