Trend ambil penjaga gol import akan jejaskan penjaga gol tempatan

492

Jika sebelum ini banyak pasukan dalam Liga Malaysia mengambil pemain import untuk memperkuatkan barisan pertahanan, tengah dan penyerang, kini posisi penjaga gol juga mula diisi oleh pemain import.

Trend pengambilan penjaga gol import ini dilihat semakin popular selepas Kevin Ray Mendoza dan Dominik Picak beraksi di Liga Super.


Terbaru pasukan Sri Pahang FC juga mengikut jejak langkah sama apabila mengikat penjaga gol kebangsaan Mali, Mamadou Samassa untuk saingan musim 2022.

Mungkin ramai yang masih tidak ambil serius dengan pengambilan penjaga gol import ketika ini kerana jumlahnya terlampau sedikit.

Sumber foto: KDA FC Facebook

Bagaimanapun sekiranya ia berterusan saban tahun, ia pasti akan memberi kesan terutamanya kepada penjaga gol tempatan yang mana peluang mereka untuk beraksi menjadi semakin tipis.

Umum mengetahui posisi di barisan pertahanan terakhir merupakan posisi jarang ditukar. Penjaga gol kedua dan ketiga hanya mendapat peluang sekiranya pemain utama mengalami kecederaan.

Walaupun sebelum ini terdapat kenyataan daripada seorang bekas penjaga gol kebangsaan berkata pemain tempatan tidak perlu bimbang dengan kehadiran import, sebaliknya perlu bersaing dan mempamerkan kemampuan untuk barisi kesebelasan utama.

Secara logiknya jika sesebuah pasukan itu mengambil penjaga gol import, sudah semestinya pemain itu akan menjadi keutamaan berikutan pasukan sudah mengeluarkan belanja besar untuk membawa masuk pemain itu.

Ia bukan sahaja memberi kesan kepada pemain itu sendiri, tetapi juga kepada negara kerana kita akan ketandusan penjaga gol berkualiti.

Perkara ini sudah berlaku dalam Liga Malaysia yang mana ketika ini posisi penting seperti pertahanan, tengah dan penyerang utama didominasi oleh pemain import.

Tidak dapat dinafikan pentingnya pemain import untuk bantu pasukan yang bermain di peringkat Asia, namun ia hanya membabitkan beberapa pasukan sahaja.

Impak pemain import ini sudah dapat dilihat dalam pasukan negara apabila Malaysia kini kekurangan pemain berkualiti di setiap posisi penting dan ia sudah terbukti ketika skuad Harimau Malaya bersaing di Piala AFF baru-baru ini.

Sesuatu perlu dilakukan segera kerana skuad negara ketika ini berada dalam keadaan terumbang ambing dan sekiranya pihak yang bertanggungjawab dalam mengendalikan skuad kebangsaan tidak membuat perubahan, tidak mustahil prestasi negara akan terus merosot.