Bekas penyerang sensasi KDA FC, Willian Lira kini ‘mengganas’ di Thai League 1

221

Bekas penyerang sensasi Kedah Darul Aman FC (KDA), Willian Lira nampaknya tidak mengambil masa yang lama untuk menyesuaikan diri dengan kelab barunya apabila kemasukkan beliau dalam Chonburi FC telah memberi impak yang cukup besar.

Walaupun baru turun beraksi dalam tiga perlawanan Thai League 1, Lira telah memperlihatkan ketajaman beliau dihadapan gawang lawan apabila sudah menjaringkan empat gol.


Lira juga diturunkan dalam kesebelasan utama untuk ketiga-tiga perlawanan tersebut dan bermain sepenuh masa iaitu sebanyak 270 minit permainan.

Prestasi yang cukup cemerlang pemain berasal dari Brazil itu telah menyaksikan nama beliau telah tersenarai dalam Team Of The Month (TOTM).

Turut berada dalam senarai TOTM adalah pemain pertahanan Harimau Malaya, Dion Cools yang bermain untuk Buriram United.

Terdahulu, Lira yang menyarung jersi KDA pada awal musim lalu beraksi di Liga Super Malaysia mendapat kritikan daripada segelintir peminat Sang Kenari yang tidak berpuas hati dengan prestasinya.

Kritikan peminat bukan mengenai ketajamannya kerana Lira merupakan antara penjaring terbanyak kelab itu, tetapi ia lebih kepada corak permainan yang dikatakan tidak membantu rakan sepasukan lain.

Ramai yang merasakan beliau tidak dapat menyesuaikan diri dengan corak permainan yang diterapkan oleh ketua jurulatih Nafuzi Zain.

Susulan itu, pihak pengurusan kelab telah mengambil keputusan untuk menamatkan kontrak pemain berusia 29 itu secara baik.

Dengan kualiti yang ada pada Lira membuatkan beliau tidak mengambil masa lama untuk menyesuaikan diri di negara jiran dan mungkin corak permainan Chonburi sesuai dengan corak permainannya menyebabkan beliau beraksi dengan cukup baik.

Sementara itu, seorang lagi bekas pemain import dari Liga Super iaitu Herlison Caion yang pernah menyarung jersi Selangor FC kini sedang mengecapi kejayaan bersama kelab barunya Ha Noi FC.

Beliau yang sebelum ini dikritik hebat dek prestasi hambar telah memperlihatkan kehebatan sejak beraksi di V League 1 dengan menjaringkan lapan gol dalam sembilan penampilan.

Caion juga bakal beraksi dalam kejohanan berprestij Asia iaitu AFC Champions League (ACL) musim ini.