Nasir Basharudin fokus rebut kesebelasan utama PJ City FC dan skuad negara

509

Pemain baru PJ City FC, Mohamad Nasir Basharudin memberitahu fokusnya kini adalah untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama pasukan barunya.

Menurut Nasir, beliau yang sebelum ini mengalami kecederaan bergelut untuk mendapatkan semula rentak permainan asalnya.


“Selepas mengalami kecederaan sebelum ini saya berdepan kesukaran untuk kembali bermain seperti dahulu, namun kini saya sudah pulih sepenuhnya dan mula mendapat rentak seperti sebelum ini.

Fokus saya kini adalah untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama pasukan dan juga ingin menyarung jersi kebangsaan semula selepas kali terakhir beraksi bersama skuad Harimau Malaya pada tahun 2018,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Dalam pada itu, bercerita lanjut mengenai keputusannya untuk menyertai pasukan berpengkalan di Petaling Jaya walaupun turut mendapat tawaran dari pasukan lain, Nasir berkata beliau kagum dan yakin dengan moto pasukan itu iaitu #Yakinilokal! .

“Saya sertai pasukan ini kerana mahukan cabaran baru yang mana pasukan ini dibarisi oleh pemain tempatan sahaja tanpa pemain import.”

PJ City FC rekrut tujuh pemain tempatan baru.

Tambah Nasir lagi, pasukan yang diberi jolokan The Phoenix telah membuktikan pasukan yang dibarisi pemain tempatan sepenuhnya mampu beri saingan sengit kepada pasukan yang mempunyai pemain import.

Pada musim lalu, pasukan PJ City berjaya menduduki di tangga ketujuh Liga Super, dan untuk musim 2022 ketua jurulatihnya P. Maniam menyasarkan pasukan itu berada dalam kedudukan Top 5.

Terdahulu, Nasir pernah menjulang trofi Piala Malaysia bersama Perak pada 2018 telah berhijrah ke Terengganu FC pada 2020.

PJ City merupakan pasukan ketiga diwakili Nasir sepanjang kariernya sebagai pemain bola sepak profesional.