Kami menang dua perlawanan menentang Terengganu dalam MPFL tapi mereka kini lebih kuat – Edgar Baldasso

107

Ketua jurulatih Selangor MAC, Edgar Baldasso beranggapan bahawa perlawanan menentang Terengganu dalam saingan tempat ketiga dan keempat esok adalah satu perlawanan yang berbeza berbanding perlawanan liga sebelum ini.

Walaupun Selangor MAC menang ke atas Terengganu dalam kedua-dua pertemuan mereka ketika saingan liga, beliau percaya Terengganu kini satu pasukan yang lebih kuat.


“Memang kita menang kedua-dua perlawanan liga menentang mereka tetapi ia adalah dua perlawanan yang sukar.

Setiap perlawanan adalah berbeza, jadi kita harus hormati mereka untuk perlawanan esok, mereka mempunyai pemain-pemain yang laju dan pemain import yang hebat,”

katanya.

Tambahnya, beliau gembira dengan pencapaian pasukannya setakat ini dalam musim pertamanya di Malaysia dan percaya pemain-pemain Selangor MAC mempunyai potensi yang tinggi.

Beliau juga mengakui sudah lebih faham dengan suasana futsal di negara ini dan lebih yakin untuk menghadapi musim-musim seterusnya.

Dalam pada itu, kapten pasukan, Khairul Effendy Bahrin berkata bahawa musim 2023 merupakan musim berbeza daripada musim sebelumnya kerana mereka menggunakan ramai pemain muda, selain musim pertama buat Edgar Baldasso.

“Memang kita tahu musim lalu Selangor MAC adalah juara Piala FUtsal Malaysia tetapi ini adalah musim yang berbeza, kami menggunakan ramai pemain muda dan ini juga merupakan musim pertama buat jurulatih.

Untuk musim ini memang kita fokus bina pemain dan akan habis-habisan pada musim depan, jurulatih dan pihak pengurusan juga beritahu supaya kita nikmati perlawanan esok dan tiada tekanan untuk kami.”

Khairul berkata, keadaannya kini sudah 99 peratus baik selepas mengalami kecederaan ACL sebelum musim bermula.

Beliau bersyukur dapat kembali dengan lebih awal daripada dijangka dan fokus untuk kembali semula dengan lebih kuat pada musim depan.