Pertembungan King of Malaya dan Sang Kenari akan jadi penentu pasukan mana ke Piala AFC musim depan

400

Saingan Liga Super bakal kembali bersambung pada 27 September ini yang akan menyaksikan juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) dijangka akan mengesahkan kejuaraan ke-10 berturut-turut apabila melayan kunjungan PDRM FC nanti.

Namun bukan JDT yang hendak diperkatakan kerana dominasi Harimau Selatan tiada tandingan, sebaliknya persaingan untuk merebut tempat kedua liga sangat menarik kerana ia membabitkan tiga penjuru iaitu Selangor FC, Kedah Darul Aman FC (KDA) dan Sabah FC.


Berbanding musim lalu pasukan di tempat kedua dan ketiga akan layak ke Piala AFC, bagaimanapun untuk musim depan Malaysia hanya mendapat satu slot sahaja ke kejohanan itu.

Penstrukturan kuota tersebut akan menyaksikan hanya pasukan di kedudukan kedua liga sahaja akan layak ke Piala AFC 2024 dan ini membuatkan perebutan slot ke pentas Asia menjadi cukup sengit di antara ketiga-tiga pasukan yang mana ketiga-tiga pasukan hanya dibezakan dengan mata sahaja.

Ketika kedudukan kedua liga diduduki oleh Selangor dengan 49 mata, Kedah 44 mata manakala Sabah pula 42 mata.

Bagaimanapun skuad Hijau Kuning mempunyai sedikit kelebihan apabila mereka masih kurang satu perlawanan, tapi baki lima perlawanan liga bukan mudah buat anak buah Nafuzi Zain.

Ini kerana peminat meletak harapan menggunung selepas mempamerkan aksi yang cukup cemerlang apabila berjaya menamatkan rekod kemenangan JDT apabila berjaya mengikat pasukan itu 3-3 dalam perlawanan liga baru-baru ini.

Apabila saingan liga bersambung, mereka akan bertemu dengan KL City FC, Negeri Sembilan FC, Kelantan FC, Selangor FC dan Sabah FC.

Jadi, pertembungan Sang Kenari dan King of Malaya mungkin akan jadi penentu pasukan manakah akan menduduki tangga kedua.

Tidak hanya Selangor, Kedah juga perlu pastikan mereka tidak keciciran mata dalam baki perlawanan bagi memastikan peluang mereka cerah.

Dalam pada itu, skuad Gergasi Merah juga dalam misi penting musim ini iaitu untuk layak ke pentas Asia selepas berbelanja besar pada musim ini untuk merealisasikan impian mereka.

Skuad kendalian Tan Cheng Hoe berbaki empat perlawanan iaitu menentang Terengganu FC, Perak FC, Kedah Darul Aman FC dan PDRM FC.

Seperti Kedah, Selangor juga tidak boleh keciciran sebarang mata dan perlukan 12 mata penuh untuk baki empat perlawanan.

Tidak mudah untuk mereka untuk mendapatkan tiga mata penuh setiap perlawanan kerana selain Kedah, Terengganu dan PDRM mungkin boleh jadi duri dalam daging buat Selangor.

Sementara itu, Sabah juga mempunyai baki empat perlawanan iaitu menentang Kelantan FC, Terengganu FC, Perak FC dan Kedah Darul Aman FC.

Jika secara metematiknya memang agak sukar untuk buat skuad Datuk Ong Kim Swee untuk merebut tempat kedua kerana ketika ini mereka ketinggalan tujuh mata dan dua mata di belakang Selangor dan Kedah.

Berdasarkan baki empat perlawanan, mereka dijangka tiada masalah untuk memperoleh kemenangan apabila menentang Kelantan FC dan Perak FC, tapi mungkin akan berdepan kesukaran apabila menentang Terengganu FC dan Kedah Darul Aman FC.

Jadi pasukan manakah yang akan ke Piala AFC 2024? Sama-sama kita tunggu dan lihat.