JDT tiada masalah untuk lepasi peringkat kumpulan ACL 2022?

632

Tahun 2022 merupakan tahun keempat pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT FC) bakal berentap dalam saingan berprestij ACL Champions League 2022.

Semalam telah berlangsungnya undian kumpulan yang mana JDT telah diundi dalam kumpulan I bersama pasukan dari Liga Jepun iaitu Kawasaki Frontale dan pasukan Liga Super China, Guangzhou FC.


Satu lagi slot akan diisi pemenang pusingan play-off di antara kelab Korea Selatan, Ulsan Hyundai atau dari Thailand, Port FC.

Sumber foto: JST Facebook

Musim ini merupakan penampilan keempat pasukan Harimau Selatan yang mana dalam tiga penampilan yang disertai sebelum ini kempen mereka berakhir setakat di peringkat kumpulan sahaja.

Pada musim 2020 JDT terpaksa menarik diri dari menyertai saingan ACL susulan lonjakan kes COVID-19 yang melanda dunia.

Musim 2021, skuad kendalian Benjamin Mora menamatkan saingan di tangga ketiga dalam kumpulan G yang mana ia turut dihuni Nagoya Grampus, Pohang Steelers dan Rachburi.

Bagaimanapun untuk musim 2022 ini, JDT dilihat mampu mencipta sejarah lepasi peringkat kumpulan berdasarkan rekod cemerlang pasukan itu termasuk kehadiran pemain-pemain baru yang akan memperkuatkan skuad Mora musim ini.

Sumber foto: JST Facebook

Juara Liga Super lapan kali berturut-turut itu terus mengekalkan dominasi mereka dalam liga tempatan apabila hanya tumpas sekali sahaja dalam saingan Liga Super musim lalu dengan 18 kemenangan dan hanya tiga seri.

Untuk musim ini, JDT telah berjaya menjaringkan 50 gol dalam liga dan hanya melepaskan sembilan gol sahaja selepas 22 perlawanan.

Ia telah membuktikan bahawa barisan serangan, tengah dan pertahanan pasukan itu adalah yang terbaik sekaligus menjadikan pasukan itu hampir sempurna dalam setiap posisi.

Sumber foto: JST Facebook

Tidak mahu terlalu selesa dengan skuad semasa, musim ini JDT dilaporkan akan membawa masuk lima pemain baru iaitu seorang pemain tempatan dan empat pemain import.

Menurut Pengarah Sukan JDT, Martin Prest dalam satu kenyataannya berkata seorang pemain import akan digandingkan bersama penyerang berbisa mereka iaitu Bergson dalam skuad utama, manakala tiga lagi akan ditempatkan di JDT II.

JDT juga memaklumkan bahawa pemain warisan yang juga bekas pelatih Wolverhampton Wanderes, Shio Hong Wan akan memperkuatkan musim ini.

Baru-baru ini JDT telah mengumumkan dua pemain baru, seorang pemain tempatan Syahmi Safari dan pemain dari Argentina yang bermain di liga Serie A, Udinese, Fernando Forestieri.

Dengan kehadiran Forestieri yang akan bergandingan dengan penjaring terbanyak JDT musim lalu Bergson dijangka bakal menjadi duo serangan paling berbahaya untuk musim ini sekaligus mampu memberi masalah kepada barisan pertahanan pasukan yang bersaing di ACL.

Sumber foto: JST Facebook

Forestieri seorang pemain versatil akan memberi lebih variasi dan pilihan kepada Mora kerana beliau mampu beraksi dalam lima posisi berbeza iaitu sayap kanan, sayap kiri, central forward, central attacking midfielder dan penyerang kedua.

Jika dilihat pasukan yang berada dalam kumpulan I, JDT dijangka hanya akan berdepan tugas sukar apabila menentang juara Liga Jepun, Kawasaki Frontale yang mana ia akan menyaksikan bintang kebangsaan Thailand, Chanathip Songkrasin akan cuba merobek gawang yang dijaga Farizal Marlias.

JDT diramal akan tercicir mata ketika menentang Kawasaki Frontale sahaja, tetapi tidak akan berdepan masalah ketika bertemu dengan Guangzhou FC dan dijangka mampu mengutip enam mata penuh apabila bertemu pasukan yang layak menerusi saingan play-off.

Saingan peringkat kumpulan Zon Timur ACL akan berlangsung pada 7 April depan dengan JDT akan memulakan kempen pada 15-16 April bertemu pasukan Guangzhou, Kawasaki Frontale (24-25 April) dan pemenang play-off (30 April – 1 Mei).

Sumber foto: JST Facebook

Perlawanan yang bakal menjadi perhatian dalam kumpulan I sudah semestinya pertembungan antara JDT dengan Kawasaki Frontale kerana ia bukan sahaja akan menarik minat peminat bola sepak dari Malaysia dan Jepun sahaja tetapi juga peminat bola sepak dari negara jiran Thailand.

Ini kerana kapten kebangsaan Thailand itu baru sahaja menjadi tajuk utama dunia bola sepak di Asia apabila menjadi salah seorang pemain termahal di Liga Jepun ketika pindah dari Consadole Sapporo ke Kawasaki Frontale.

Ia bakal menjadi satu perlawanan epik membabitkan gergasi dari Jepun dan Malaysia iaitu juara empat kali Liga Jepun bertembung juara lapan kali Liga Super Malaysia.

Jika tiga saingan sebelum ini JDT kandas di peringkat kumpulan, pada musim ini peluang pasukan itu untuk mara ke peringkat seterusnya tampak cerah. Sekiranya JDT mampu mencuri mata ketika menentang Kawasaki Frontale, maka tiada masalah untuk menjuarai kumpulan I.

Bagaimanapun jika tidak mampu atasi Kawasaki Frontale, JDT masih lagi dilihat mampu untuk mara ke peringkat seterusnya sebagai naib juara kumpulan memandangkan konsistensi JDT pamerkan sepanjang musim lalu dijangka akan berterusan.

Sumber foto: JST Facebook

Sentiasa mahukan yang terbaik, JDT awal-awal lagi sudah membuat persiapan rapi untuk membentuk sebuah pasukan yang ampuh untuk musim ini termasuklah mengatur perlawanan pra-musim mereka di Dubai dan Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) bulan ini  yang mana mereka akan menentang FC Spartak Moscow, FC Rodina Moscow, Riga FC dan MSK Zilina.

Selain saingan ACL, JDT juga dijangka mampu mencipta sejarah baru di Liga Malaysia musim ini sekiranya mereka muncul juara Liga Super musim ini, ia akan menjadikan JDT satu-satunya pasukan yang berjaya memenangi Liga Super sembilan kali berturut-turut.