KDA FC mampu ulang sejarah 2008 mara ke suku akhir Piala AFC

357

Selepas terpaksa menarik diri dari saingan Piala AFC tahun lalu, pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) sekali lagi telah melayakkan diri ke saingan AFC 2022.

Selain Kedah, pasukan Kuala Lumpur City FC (KL City FC) turut akan mewakili Malaysia untuk saingan pada musim ini.


Bagaimanapun selepas undian yang berlangsung semalam, skuad kendalian Aidil Sharin Sahak bakal berdepan jalan berliku apabila mereka telah diundi dalam kumpulan G bersama Kaya FC Iloilo dan Bali United.

Selain itu, satu lagi pasukan akan turut berada dalam kumpulan itu iaitu pemenang perlawanan play-off untuk melengkapkan saingan kumpulan G.

Sumber foto: AFC Cup

Untuk rekod, ini adalah penampilan keempat skuad Lang Merah di pentas Piala AFC yang mana kali pertama Kedah bermain di pentas Asia pada tahun 1994-1995 yang mana ketika ini ia dikenali sebagai Asian Club Championship.

Kedah kemudian melayakkan diri sekali lagi dalam saingan Piala AFC pada tahun 2008 dan 2009 yang mana pencapaian terbaik pasukan itu adalah pada edisi 2008 apabila mereka berjaya layak ke peringkat suku akhir, namun tumpas di tangan Al-Muharraq (Bahrian).

Manakala pada tahun 2009 pula Kedah layak ke pusingan 16, namun tewas di tangan pasukan dari Vietnam iaitu Binh Duong.

Setelah lebih sedekad tidak beraksi di pentas Asia, impian peminat untuk melihat pasukan kesayangan mereka main di pentas Asia akhirnya tercapai pada tahun 2020 apabila mereka layak bersaing bagi melayakkan diri ke saingan AFC Champions League.

Sumber foto: KDA FC Facebook

Kedah bermula dengan langkah kanan apabila dengan mudah menundukkan pasukan dari Hong Kong iaitu Tai Po dengan jaringan 5-1 dalam pusingan kedua kalah mati.

Bagaimanapun ketika bermain pada play-off menentang FC Seoul, Kedah tumpas 1-4 sekaligus tidak layak ke saingan berprestij itu.

Peminat sekali lagi kecewa apabila Kedah yang layak ke saingan Piala AFC 2021 tidak dapat beraksi apabila saingan itu dibatalkan gara-gara pandemik COVID-19.

Impian untuk bersaing di peringkat Asia diteruskan lagi apabila mereka layak bersaing di Piala AFC selepas berjaya menduduki tangga kedua Liga Super 2021.

Bercerita mengenai saingan Kedah dalam kumpulan G, pasukan gergasi dari utara bakal bertembung dengan juara Piala Copa Paulino Alcantara yang juga juara Liga Filipina iaitu Kaya FC Iloilo.

Berdasarkan prestasi semasa pasukan Kaya, musim lalu mereka hanya menjuarai Piala Copa Paulino Alcantara sahaja manakala saingan liga mereka pula dibatalkan. Namun pada musim 2020, mereka berjaya menduduki tempat kedua dalam saingan liga.

Sumber foto: KDA FC Facebook

Tahun lalu mereka telah berjaya melayakkan diri ke saingan AFC Champions League (ACL) selepas menang percuma ke atas Brisbane Roar (Australia) yang dibatalkan di pusingan kalah mati dan menang 1-0 dengan Shanghai Port di pusingan play-off.

Bagaimanapun dalam saingan ACL, mereka tumpas dalam kesemua perlawanan peringkat kumpulan sekaligus berada di kedudukan tercorot dan tersingkir awal.

Sementara itu, sebuah lagi pasukan dalam kumpulan sama iaitu Bali United, gergasi dari Liga Indonesia. Mereka mempunyai rekod yang cemerlang di saingan liga domestik.

Sumber foto: KDA FC Facebook

Di peringkat Asia pula, mereka sudah dua kali layak ke saingan play-off ACL sebanyak dua kali iaitu pada tahun 2018 dan 2020 tetapi mereka kandas.

Selepas gagal layak ke ACL, Bali United layak ke saingan Piala AFC pada tahun 2018, namun mereka tersingkir di peringkat awal apabila menduduki tangga tercorot. Mereka juga layak pada tahun 2020 tetapi terpaksa melupakan hasrat untuk bersaing apabila saingan itu dibatalkan.

Sebuah lagi pasukan yang akan bersaing dalam kumpulan G adalah pemenang daripada perlawanan play-off daripada pasukan dari Asia Tenggara.

Sumber foto: KDA FC Facebook

Sementara itu, pasukan Kedah pada musim ini telah melakukan rombakan besar-besaran apabila sebahagian besar pemain dari skuad musim lalu telah dilepaskan termasuklah tonggak utama Baddrol Bakhtiar, Rizal Ghazali, Kpah Sherman, Kipré Tchétché, Anumanthan Kumar, Renan Da Silva dan Rabih Ataya.

Difahamkan pada musim ini, ketua jurulatih Kedah mempertaruhkan ramai pemain muda termasuk beberapa pemain import baru seperti Dechi Marcel dan Jang Suk-Won dan Dennis Buschening yang sudah sah akan beraksi bersama pasukan Kedah untuk musim ini.

Skuad Hijau Kuning juga dilaporkan akan membawa masuk penjaring terbanyak Liga Jordan iaitu Ronald Ngah. Bekas penyerang Kedah iaitu Syafiq Ahmad juga kembali ke Darul Aman secara pinjaman daripada Johor Darul Ta’zim (JDT).

Sumber foto: KDA FC Facebook

Ketika ini Kedah sudah pun memulakan sesi latihan mereka dan terdapat ura-ura yang mengatakan mereka akan mengadakan perlawanan pra-musim di luar negara untuk membentuk sebuah pasukan ampuh.

Bagi memastikan pasukan ‘baru’ Kedah mampu beri saingan di pentas Asia, Aidil Sharin kini sibuk mempersiapkan setiap pemainnya untuk berada pada tahap yang terbaik kerana beliau mahu mempamerkan corak permainan berintensiti tinggi pada musim ini.

Melihat persiapan skuad pada musim ini dengan gabungan barisan pemain baru dan lama serta corak permainan berintensiti tinggi, Kedah dijangka mampu sekurang-kurangnya melepasi peringkat kumpulan atau pun menyamai rekod pada tahun 2008 layak ke suku akhir.