Selepas Zaquan berbunyi, penyokong pula desak CEO Negeri Sembilan berundur

381

Ketika perlawanan Piala Malaysia antara Negeri Sembilan dan Johor Darul Ta’zim (JDT) semalam, sekumpulan penyokong tuan rumah meluahkan rasa tidak puas hati mereka terhadap pihak pengurusan dengan mempamerkan kain rentang yang mendesak CEO kelab itu berundur.

Ia dipercayai gara-gara prestasi yang boleh dianggap buruk pasukan itu pada musim ini, terutama dalam saingan liga, selain beberapa masalah yang melanda pasukan.


Ketika ini, Negeri Sembilan terperosok di tangga kesembilan Liga Super dengan hanya empat kemenangan, sembilan seri dan lapan kekalahan selepas 21 perlawanan.

Ini berbeza dengan musim lalu apabila Negeri Sembilan menamatkan saingan liga di kedudukan keempat liga, mencatatkan12 kemenangan, lima kekalahan dan lima seri.

Selain itu, Negeri Sembilan juga menghadapi kesukaran mengisi kuota import mereka pada musim ini, dan terpaksa bergantung kepada majoriti pemain tempatan.

Tindakan sekumpulan penyokong itu ibarat mengiakan kenyataan yang dikeluarkan pemain Negeri Sembilan, Zaquan Adha sebelum ini.

Zaquan sebelum ini memuatnaik satu hantaran di Instagram yang menunjukkan beliau seakan tidak berpuas hati dengan pihak CEO yang seolah-olah mempertikaikan soal gaji beliau.

Kekalahan demi kekalahan yang dicatat oleh pasukan itu dalam saingan Liga Super sebelum ini, terutama kepada Kelantan, menyebabkan penyokong tidak berpuas hati.

Denga napa yang didesak oleh pihak penyokong dan apa yang didedahkan oleh Zaquan sebelum ini, adakah Negeri Sembilan menghadapi kemelut di pihak pengurusannya?