Jaami Qureshi sah tak akan wakili Malaysia, pilih Iraq

3,798

Pemain remaja berdarah kacukan Malaysia, Jaami Qureshi telah memberi bayangan seperti mengesahkan dia tidak akan bermain untuk Malaysia sebaliknya akan mewakili Iraq.

Satu video yang dikongsi oleh Iraqi Sports Gate memperlihatkan Jaami berterima kasih atas sokongan padu peminat Iraq.


“Terima kasih atas sokongan anda semua. Saya harap dapat jumpa anda tidak lama lagi,”

katanya.

Terdahulu segelintir peminat tempatan mengkritik Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kerana didakwa tidak melakukan sebarang usaha untuk mendapatkan pemain yang berpengkalan di England itu untuk menyarung jersi Harimau Malaya.

Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar dalam satu kenyataan menafikan perkara itu dan menjelaskan bahawa pihaknya telah menghubungi secara terus dengan bapa pemain itu iaitu Perviz Qureshi serta Pengurus Akademi Brighton & Hove Albion, John Morling membincangkan panggilan ke pusat latihan skuad B-19 tahun kebangsaan menjelang Kejohanan Asia AFC B-19 di Uzbekistan pada 2020.

Bagaimanapun satu persetujuan tidak dapat dicapai berikutan bapa pemian itu mahu Jaami diberi keistimewaan taraf kerakyatan tanpa perlu melalui proses penilaian teknikal daripada jurulatih Brad Maloney ketika itu.

“Adalah jelas bahawa di sebalik dakwaan FAM tidak mengambil sebarang tindakan, Sekretariat Agung mengambil inisiatif berhubung dengan keluarga Qureshi pada 2020 tetapi atas sebab pelbagai faktor, usaha menjadikan Jaami rakyat Malaysia tidak tercapai. Memandangkan Jaami kini memilih kerakyatan Iraq, kami ucapkan selamat maju jaya kepada beliau.”

Jaami memilih untuk mewakili Iraq berkemungkinan kerana segala permintaannya ditunaikan oleh Persatuan Bola Sepak Iraq (IFA).

Sumber foto: FAM

Tidak dapat dinafikan proses untuk membawa masuk Jaami menjadi sukar berikutan ia membabitkan bapa pemain itu secara langsung. Jika FAM berurusan dengan ejen pemain peluang untuk mendapatkan pemain itu mungkin berbeza.

Jika Jaami sudah membuat keputusan untuk mewakili Iraq, peminat bola sepak tempatan tidak perlu menyalahkan pihak FAM kerana mereka sudah pun membuat kerja mereka sebaik mungkin.

Pujian juga harus diberikan kerana pihak FAM tidak melayan permintaan ‘istimewa’ itu kerana tidak kira hebat mana pun pemain itu, mereka tetap perlu melalui proses ujian pemilihan dari sudut teknikal sama seperti pemain-pemain lain.

Rasanya FAM sudah boleh berhenti cari pemain-pemain warisan ini dan fokus kepada pemain tempatan kerana di Malaysia kita mempunyai ramai pemain yang sanggup bermain mati-matian tanpa meminta sebarang layanan istimewa.

Kita telah membuktikan bahawa Malaysia pernah menjadi salah sebuah pasukan besar di Asia satu ketika dahulu, jadi tidak mustahil untuk kita ulangi pencapaian itu.

Apa yang penting adalah memantapkan program pembangunan bola sepak dari akar-umbi supaya skuad kebangsaan akan sentiasa mempunyai pemain-pemain berkualiti sedia untuk beraksi.