Misbun Sidek galakkan saya tubuhkan Akademi Badminton Azman Amman ini – Azman Amman

88

Pengasas dan ketua jurulatih Akademi Badminton Azman Amman, Azman Amman mendedahkan bahawa legenda badminton negara, Datuk Misbun Sidek merupakan individu yang menggalakkan beliau untuk menjadi seorang jurulatih badminton.

Katanya, beliau pada mulanya agak kekok apabila memulakan akademi tersebut namun setelah beberapa ketika beliau semakin mahir.


“Saya merupakan bekas anggota tentera, saya belajar bermain badminton daripada tak pandai sehinggalah pandai, guru pertama saya adalah Misbun.

Saya sentiasa pergi tempat dia dan pada satu hari beliau galakkan saya untuk jadi jurulatih, selain daripada Misbun saya juga pernah belajar dengan bapa Zulfadhli Zulkifli, bekas jurulatih Taufik Hidayat iaitu Pak Roslan dan lain-lain,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Katanya, akademi itu bermula pada tahun 2005 dan selepas hampir 20 tahun, akademi itu telah melahirkan beberapa pemain yang berjaya di peringkat daerah, MSSM sehinggalah mewakili negara.

Jelasnya, akademi itu beroperasi menggunakan wang yuran daripada pelajar dan kadang kala beliau turut mengeluarkan wang sendiri.

“Dana adalah daripada yuran yang pelajar-pelajar bayar, dan kadang-kadang saya gunakan duit sendiri untuk tampung duit bulu tangkis dan gelanggang.

Kalau pelajar lebih daripada 30 orang, duit itu cukup untuk kita pusing dan hantar mereka ke kejohanan mana-mana.”

Beliau berharap Akademi Badminton Azman Amman akan melahirkan lebih banyak pemain yang hebat buat Malaysia dan juga mampu menjadi jaguh dunia satu hari nanti.