DSV makin rajin ke stadium, masih tak putus asa miliki Kelantan FC?

325

Pada perlawanan suku akhir Piala Malaysia antara Sabah FC dan Perak FC semalam, kelibat usahawan terkenal, Datuk Seri Hasmiza Othman atau lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida (DSV) menarik perhatian ramai.

Ini bukanlah kali pertama beliau hadir menonton perlawanan bola sepak tempatan, kerana sebelum ini pernah dilihat berada di Stadium Sultan Ibrahim untuk menyaksikan perlawanan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan juga Stadium Sultan Muhammad IV untuk menyaksikan perlawanan Kelantan.


Beliau juga pernah dikaitkan dengan Sabah apabila dilihat dalam sekeping foto bersama CEO Sabah, Ahmad Marzuki Nasir.

Sebelum ini, beliau dilaporkan mahu mengambil alih pasukan Kelantan yang sedang bermasalah, namun sehingga kini perkara itu masih tidak menjadi kenyataan.

Vida bukanlah individu yang asing dalam bola sepak Kelantan dan tempatan kerana pernah menjadi penaja utama pasukan Kelantan dengan perjanjian tajaan dipercayai bernilai kira-kira RM16 juta.

Beliau juga sebelum ini berkata mahu mempelajari selok belok berkaitan pengurusan kelab bola sepak dengan berjumpa dengan pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Ramai yang masih tertanya-tanya sebab beliau sering turun ke perlawanan Liga Malaysia sejak kebelakangan ini.

Mungkinkah beliau masih belum berputus asa untuk membeli pasukan Kelantan atau sedang berkira-kira untuk melabur dalam mana-mana pasukan Liga Malaysia yang lain?

Ini kerana, pada musim-musim sebelum ini, kelibatnya tidak dilihat berada di stadium menyaksikan perlawanan seperti musim ini.

Justeru pasti ada sebab tersendiri beliau kini sering aktif menonton perlawan Liga Malaysia dan menghadirkan diri ke stadium-stadium.