Suhaimi Husin adalah salah seorang penjaga gol terbaik negara ketika ini – Syed Adney

533

Bekas penjaga gol kebangsaan, Syed Adnye Syed Hussein mengakui bahawa penjaga gol utama Terengganu FC iaitu Suhaimi Husin merupakan salah seorang penjaga gol terbaik negara ketika ini.

Menurut Syed Adney, dengan prestasi cemerlang yang dipamerkan oleh Suhaimi itu beliau seharusnya diberikan peluang untuk menyarung jersi Harimau Malaya.


“Ya! Bagi saya memang patut beliau diberi peluang. Saya rasa beliau adalah salah seorang penjaga gol terbaik negara ketika ini.

Kita lihat sejak beliau bermain di Terengganu di bawah kendalian Nafuzi Zain lagi mereka suka bermain dari bawah jadi saya yakin beliau boleh beraksi dengan baik bersama pasukan kebangsaan yang mana ia akan meningkatkan lagi tahap keyakinannya.

Beliau mempunyai pakej lengkap sebagai penjaga gol zaman ini dan saya rasa beliau boleh beri cabaran kepada penjaga-penjaga gol kebangsaan ketika ini. Saya boleh katakan beliau setaraf atau lebih baik daripada seorang dua penjaga gol kebangsaan ketika ini,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Dalam pada itu, beliau yang ditanya siapakah tiga penjaga gol yang perlu dibawa ke Piala Asia 2023 pada tahun hadapan berdasarkan prestasi semasa penjaga gol negara ketika ini, Syed Adney berkata Syihan Hazmi dan Suhaimi Husin adalah penjaga gol yang wajib dibawa oleh ketua jurulatih pasukan kebangsaan, Kim Pan-gon.

“Saya rasa Syihan sudah tentu akan berada dalam pasukan, Suhaimi juga perlu berada dalam pasukan.

Tapi untuk satu lagi slot penjaga gol agak sukar sikit untuk kerana bagi saya ia di antara Sam Sommerville, Damien Lim atau Kalamullah Al-Hafiz. Tapi Kalamullah perlu tunjukkan konsistensi di Kedah tapi saya secara peribadi merasakan Sam Sommerville perlu diberikan peluang.”

Sementara itu, Syed Adney juga berkata penjaga gol juga perlu mengikut menyesuaikan diri dengan corak permainan bola sepak moden yang mana penjaga gol kini perlu mempunyai kebolehan untuk bermain menggunakan kaki juga.

“Saya rasa sangat penting. Ketika zaman saya bermain dahulu pun kita sudah cuba untuk buat aspek-aspek ini sebagai seorang penjaga gol, tapi sekarang ini dalam era bola sepak yang lebih moden memang sangat penting untuk penjaga gol perlu ada kualiti boleh bermain dengan kaki.”