Kami sudah bertolak ansur dengan ‘pembunuhan watak’ yang tidak perlu – Team LZJ

505

Semalam kecoh di media sosial mengenai pemain perseorangan utama negara, Lee Zii Jia yang didakwa meninggalkan sesi temubual bersama pihak media selepas aksi pertama di Sukan Asia Hangzhou semalam.

Dakwaan tersebut bagaimanapun tidak benar apabila tersebar satu foto yang memaparkan petugas temasya itu memegang placard yang menyatakan tempoh temubual dihadkan keapda 90-120 saat sahaja.


Susulan kontroversi itu, pihak pengurusan Zii Jia iaitu Team LZJ telah tampil mengeluarkan satu kenyataan rasmi berhubung perkara itu.

“Team LZJ termasuk Lee Zii Jia sentiasa menghormati media negara kerana mereka adalah entiti yang penting dalam membentuk Lee Zii Jia sebagai individu dan juga karier beliau sebagai atlet.

Kami sentiasa cuba buat yang terbaik untuk beri kerjasama kepada media negara dan tidak pernah lari dari beri komen mengenai prestasi walaupun perkara tidak seperti yang dimahukan.”

Jelas Team LZJ lagi, insiden yang berlaku di mix zone adalah di luar kawalan mereka kerana ia dikendalikan oleh pihak penganjur.

“Pada saat ini kami telah bertolak ansur dengan pembunuhan watak yang tidak perlu apabila ia membabitkan laporan mengenai Lee Zii Jia.”

Dalam pada itu, Team LZJ turut berkata mereka sentiasa terbuka untuk menerima kritikan mengenai prestasi kerana ia sebahagian dari karier atlet sukan berprestasi tinggi.

Mereka juga memohon maaf atas kegagalan pemain nombor satu negara itu menyumbang mata untuk pasukan negara.

Team LZJ pada masa sama turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang sentiasa menyokong dalam apa jua keadaan.