Kami cuba main tanpa Paulo Josue sebagai persediaan separuh akhir Piala Malaysia lawan Terengganu – Nenad Bacina

178

Ketua jurulatih KL City FC, Nenad Bacina menjelaskan tindakannya untuk tidak menyenaraikan kapten, Paulo Josue dalam kesebelasan utama menentang Kedah Darul Aman FC sebentar tadi adalah sebagai persediaan separuh akhir Piala Malaysia untuk menentang Terengganu.

Katanya, ini adalah perlawanan terakhir untuk menyediakan pasukan untuk aksi tersebut kerana saingan Liga Super akan berehat untuk tempoh yang panjang selepas ini.


“Hari ini kami cuba untuk bermain tanpa Paulo kerana perlawanan menentang Terengganu selepas ini kami tidak boleh gunakan dia.

Sudah tentu kehadiran Paulo memberi keyakinan kepada pemain lain kerana dia mampu menggerakkan bola dan melakukan hantaran baik, tetapi untuk perlawanan ini kami mahu jadikan ia sebagai persediaan untuk separuh akhir Piala Malaysia nanti,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Beliau berkata demikian selepas perlawanan Liga Super yang menyaksikan pasukannya tewas 1-0 kepada Kedah.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa fokusnya tetap kepada setiap kejohanan yang masih berjalan ketika ini, dan bukan sahaja untuk Piala Malaysia.

“Bagi saya semua perlawanan adalah penting, saya katakan kepada pemain kita boleh cabar diri untuk tamatkan saingan liga di tangga keenam atau kelima.

Memang untuk Piala Malaysia kami berpeluang untuk mara ke perlawanan akhir, tetapi kami akan bermain bersungguh-sungguh dalam setiap perlawanan sehingga penghujung musim.”