Persaingan penjaga gol dalam skuad kebangsaan sengit, saya sudah bersedia untuk dipanggil – Kalamullah Al-Hafiz

186

Penjaga gol Kedah Darul Aman FC, Kalamullah Al-Hafiz mengaggap persaingan di posisinya dalam skuad kebangsaan adalah sesuatu yang baik untuk pasukan.

Katanya, ramai penjaga gol yang menunjukkan prestasi yang baik ketika ini, dan beliau perlu terus kekal fokus terhadap prestasinya.


“Bagi saya persaingan untuk panggilan kebangsaan akan datang adalah terbaik, kerana semua sedang tunjukkan prestasi terbaik.

Untuk saya sendiri haruslah fokus setiap perlawanan yang saya main, dan sudah tentu saya bersedia untuk dipanggil,”

katanya.

Beliau berkata demikian selepas kemenangan 1-0 ke atas KL City FC dalam aksi Liga Super di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur sebentar tadi.

Dalam pada itu, beliau bersyukur dapat mencatatkan ‘clean sheet’ pada perlawanan itu dan memberi kredit kepada semua pemain.

“Syukur saya dapat peluang bermain malam ini, dan syukur juga berjaya catatkan ‘clean sheet’ selepas tidak bermain tiga perlawanan.

Bagi saya pada malam ini semua pemain berikan 100 peratus dan sasaran kita untuk dapatkan tiga mata tercapai.”

Tambahnya, kemenangan pada malam ini akan memberi motivasi buat mereka menjelang suku akhir kedua Piala Cabaran MFL menentang Kuching City FC pada 4 Oktober.