Saingan tangga tercorot Liga Super sama rancak dan menarik dengan perebutan tempat kedua

98

Selepas Johor Darul Ta’zim (JDT) sah menjuarai saingan Liga Super 2023, tumpuan kini beralih kepada pasukan mana yang bakal menamatkan saingan di kedudukan kedua liga.

Ini kerana, pasukan yang berjaya menamatkan saingan di tangga kedua bakal mendapat slot untuk ke saingan kelab Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) untuk musim 2024/25.


Ketika ini, empat pasukan dilihat mempunyai peluang untuk merebut kedudukan tersebut iaitu Selangor, Kedah Darul Aman, Sabah dan Sri Pahang.

Di sebalik kehangatan persaingan untuk menduduki tempat kedua, di tangga terbawah Liga Super ketika ini terdapat beberapa pasukan yang sedang berjuang untuk menyelamatkan diri daripada zon penyingkiran.

Julai lalu, Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Stuart Ramalingam mengesahkan bahawa dua pasukan tercorot boleh tersingkir ke Liga M3.

Ketika ini, tiga pasukan yang dilihat sedang ‘nyawa-nyawa ikan’ dalam persaingan mengelakkan penyingkiran adalah Kuching City, Kelantan dan Kelantan United.

Kelantan United kini berada di tangga ke-12 dengan 14 mata daripada 22 perlawanan, diikuti Kelantan di tangga ke-13 dengan lapan mata daripada 21 perlawanan, manakala Kuching City pula di tangga tercorot dengan tujuh mata daripada 21 perlawanan.

Dua lagi pasukan yang masing-masing berada di tangga ke-10 dan ke-11 iaitu Penang dan Perak sedikit ‘selesa’ dengan jarak lima mata daripada Kelantan United.

Berbaki empat lagi perlawanan untuk kedua-dua pasukan, mereka mungkin boleh dianggap sudah tidak perlu risau akan penyingkiran, walaupun secara matematiknya masih lagi boleh dikejar oleh dua pasukan tercorot.

Namun, prestasi yang tidak menentu oleh Kelantan United, Kelantan dan Kuching City dilihat menyukarkan mereka untuk mengejar.

Apa yang menarik dengan persaingan pasukan tangga tercorot musim ini adalah, ia mungkin boleh menjadi ‘pengakhiran’ buat kelab daripada Kelantan atau Sarawak dalam saingan tertinggi bola sepak negara itu.

Selepas Sarawak United tidak berjaya memperoleh Lesen Kebangsaan untuk musim ini, Kuching City menjadi satu-satunya wakil dari negeri itu yang bersaing di Liga Super.

Untuk Kelantan dan Kelantan United pula, ini merupakan musim pertama mereka dalam saingan Liga Super selepas berjaya ‘naik pangkat’ daripada Liga Premier musim lalu.

Sekiranya kedua-dua pasukan ini tersingkir, ia pasti sesuatu yang menyedihkan buat bola sepak Kelantan yang dilihat baru sahaja ingin bangkit.

Mungkin berdasarkan carta liga Kelantan United memiliki kelebihan, namun tanpa pasukan Kelantan yang merupakan pasukan utama di negeri itu, ia tidak akan sama.

Jika Kuching City tersingkir, ia akan menjadi satu lagi malang untuk bola sepak Sarawak, di mana dua pasukan dari negeri itu disingkirkan daripada Liga Super dalam dua musim berturut-turut.

Apa yang lebih menyedihkan adalah Sarawak United juga ketika ini berada di tangga kedua tercorot Liga M3.

Ini membuatkan persaingan untuk mengelakkan penyingkiran pada musim ini lebih dramatik dan penuh emosi untuk penyokong bola sepak di kedua-dua negeri itu.