Latihan skuad negara dan di kelab sama sahaja – Suhaimi Husin

447

Penjaga gol kebangsaan, Suhaimi Husin mengakui tidak berdepan masalah untuk menyesuaikan diri dengan latihan skuad negara walaupun ini merupakan kali pertama beliau dipanggil menyertai kem negara.

“Saya tiada masalah untuk menyesuaikan diri kerana latihan di Terengganu FC dan di sini (skuad negara) sama sahaja, jadi saya sudah biasa,”

katanya.

Kehadiran Suhaimi ke dalam kem Harimau Malaya sudah dijangka oleh peminat selepas beliau mempamerkan aksi yang cukup cemerlang sepanjang musim ini termasuk ketika beraksi di pentas Piala AFC baru-baru ini.


Penjaga gol berusia 29 tahun itu turut mengucapkan terima kasih kepada pengendali Terengganu iaitu Tomislav Steinbruckner apabila memberi kepercayaan kepadanya untuk mengemudi benteng terakhir skuad Sang Penyu musim ini.

Tambahnya lagi, beliau dapat mempamerkan prestasi cemerlang kerana mempunyai minit permainan yang banyak.

“Ya saya ucap terima kasih kepada jurulatih Tomi sebab bagi peluang kepada saya untuk main. Ini kerana minit permainan cukup penting dan sebab itu saya dapat panggilan ke skuad negara.”

Dalam pada itu, beliau turut mengakui perlu memberikan komitmen tinggi sepanjang latihan untuk memikat ketua jurulatih Kim Pan-gon kerana beliau perlu bersaing dengan dua lagi penjaga gol kebangsaan yang cukup berpengalaman iaitu Syihan Hazmi dan Azri Ghani.

“Sudah tentu Syihan merupakan salah seorang penjaga gol terbaik ketika ini dan Azri juga sama, jadi jika saya diberi peluang oleh jurulatih nanti saya akan buat yang terbaik.”

Suhaimi adalah salah seorang daripada 25 pemain yang dipanggil untuk menyertai kem latihan pusat Harimau Malaya dalam persiapan untuk menghadapi Pestabola Merdeka 2023 yang akan berlangsung bermula 13 hingga 17 Oktober ini.