BAM harus bertegas, usah ‘lepaskan’ Lee Zii Jia dengan mudah

408

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) seharusnya bertegas untuk tidak melepaskan Lee Zii Jia setelah pemain no.7 dunia itu telah bersama persatuan itu sejak berusia 13 tahun lagi. Begitu banyak yang dilakukan BAM dalam membentuk pemain itu hingga berjaya berada di prestasi sekarang ini.

Pembangunan karier Zii Jia pastinya melibatkan banyak perkara termasuklah dari segi masa dan peruntukan bajet telah banyak dihabiskan bagi melahirkan pemain bertaraf dunia itu. BAM tidak boleh menyia-nyiakan semua itu begitu saja. Mereka ada hak untuk menghalang atlet tersebut dari meninggalkan persatuan.


Menurut sumber tertentu, BAM terdahulu telah meletakkan pampasan sebanyak  RM1.4 juta kepada Goh Jin Wei yang menyebabkan pemain muda tersebut u-turn setelah mengumumkan persaraannya September lalu kerana dikatakan tidak mampu membayar nilai pampasan yang agak besar jumlahnya.

BAM tidak boleh membezakan situasi antara Zii Jia dan Jin Wei. BAM harus mengambil langkah yang sama jika Zii Jia masih berkeras dengan keputusannya meninggalkan persatuan tersebut. Jika gagal membayar pampasan, pemain tersebut boleh dikenakan denda dilarang beraksi di mana-mana kejohanan yang diiktiraf selama 2 tahun. Atau mungkinkah Zii Jia terlebih dahulu telah bersedia lebih awal dengan mencari penaja yang mampu menyelesaikan pampasannya?

Sumber foto : Instagram Lee Zii Jia

Walaupun Zii Jia mengatakan bahawa beliau telah mendapatkan saranan dari seniornya Datuk Lee Chong Wei, tetapi jelas bahawa sebelum ini Chong Wei berpendapat bahawa jalan terbaik untuk Zii Jia dalam kariernya adalah kekal bersama BAM agar beliau tidak menyesal kemudiannya seperti yang dialami bekas pemain beregu lelaki negara, Tan Boon Heong yang menganggap persaraannya dari BAM diputuskan dalam keadaan yang tergesa-gesa.

Malah, lagenda badminton negara Datuk Rashid Sidek turut menuntut agar BAM menunjukkan ketegasan mereka terhadap pemain yang ingin meninggalkan persatuan kerana menganggap itu adalah sikap ‘berpaling tadah’ setelah BAM membentuk dan menggilap bakat mereka sejak dari awal dan kini mereka dengan mudahnya ingin meninggalkan persatuan itu.

Isu ini tidak sepatutnya dibiarkan begitu sahaja kerana dikhuatiri akan menjadi trend. Jika Zii Jia tetap dibiarkan keluar dari BAM begitu saja, integriti BAM akan dipersoalkan banyak pihak. Masa depan sukan badminton negara juga akan terjejas kerana ia akan menjadikan pemain kurang disiplin dan boleh bertindak sesuka hati. Bagaimana kita ingin melahirkan pemain yang berkualiti jika tiada disiplin yang baik? Berikut adalah rentetan pemain dan jurulatih yang telah meninggalkan BAM :

Sep 2021 – Goh Jin Wei (women’s singles)
Nov 2021 – Cheam June Wei (men’s singles)
Dec 2021 – Chan Chong Ming (coach)
Jan 2022 – Lee Zii Jia (men’s singles)

Dalam tempoh kurang dari setahun, beberapa pemain telah berundur dari BAM dan nampaknya hal ini akan terus bersambung jika ia dibiarkan akan menjadi virus dalam persatuan.