Pemain terlalu hormat kepada JDT buatkan mereka kelihatan begitu kerdil – Yusri Che Lah

913

Ketua jurulatih Perak FC, Yusri Che Lah merasakan anak-anak buahnya menunjukkan rasa hormat yang terlalu tinggi kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia sebentar tadi.

Katanya, para pemain lambat ‘panas’ pada perlawanan itu, menyebabkan mereka melepaskan dua gol awal yang membunuh pasukan pada awal permainan.


“Pemain saya hari ini menunjukkan kebolehan teknikal yang begitu baik, cuma rasa hormat yang terlalu tinggi yang mereka ada pada pihak lawan menyebabkan mereka kelihatan terlalu kerdil.

Itu aspek yang saya cuba tekankan kepada pemain bahawa mereka harus berani dalam setiap tindakan, dalam masa yang sama gol awal membunuh perjuangan pemain di awal permainan kerana kita lambat panas,”

katanya.

Yusri menegaskan bahawa beliau mengambil tanggungjawab sepenuhnya di atas kekalahan pada malam ini dan berkata mereka harus melihat perkara-perkara positif pada perlawanan tersebut.

Perak tewas 4-1 pada perlawana yang berlangsung di Stadium Perak itu, dan bakal menghadapi tugas sukar untuk bangkit pada separuh akhir kedua 2 November ini.

Walaubagaimanapun, Yusri tetap memuji para pemain yang menunjukkan semangat juang yang tinggi berdepan dengan pasukan yang kuat seperti JDT.

“Saya syukur walaupun kita tewas tetapi pemain berjuang dengan bersungguh-sungguh, faktor utama saya lihat adalah kita kurang pengalaman di pentas yang besar seperti ini, lebih-lebih menentang lawan yang kita semua tahu kekuatan mereka.

Beberapa perkara positif yang kita perlu lihat adalah bagaimana para pemain berani bermain dengan betul dan memberi tentangan selama 90 minit tanpa memberi laluan yang mudah kepada pihak lawan.”

Sementara itu, beliau mengakui tersentuh dengan kehadiran kira-kira 21 ribu penyokong di stadium pada malam ini.

Beliau meminta maaf kepada penyokong atas kekalahan itu tetapi tekad akan memperbaiki kelemahan yang ada menjelang perlawanan seterusnya.