Zhafri Yahya selesa di KL City FC kerana kebajikan terjaga

565

Pemain sayap KL City FC, Zhafri Yahya mendedahkan beliau ada mendapat tawaran dari pasukan lain tetapi menolak tawaran tersebut kerana lebih selesa bersama pasukannya ketika ini.

Zhafri berkata demikian selepas beliau menandatangani kontrak lanjutan selama dua tahun lagi bersama KL baru-baru ini.


“Memang saya ada dapat tawaran dari pasukan lain tetapi saya tolak kerana saya lebih selesa di sini (KL). Perkara paling utama saya pilih untuk kekal di sini adalah kerana pihak pengurusan KL sangat menitik beratkan kebajikan pemain.

Saya secara peribadi merasakan tidak banyak pasukan yang mampu buat seperti apa yang dilakukan oleh pengurusan KL,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Terdahulu nama Zhafri menjadi sebutan ramai selepas menerima pengiktirafan paling bermakna dalam kariernya sebagai pemain bola sepak apabila dinobatkan selaku pemain terbaik perlawanan ketika pasukannya menewaskan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam perlawanan akhir Piala Malaysia 2021.

Sumber foto: MFL

Dalam perlawanan tersebut, KL berjaya menumpaskan juara lapan kali Liga Super 2-0 dengan Zhafri berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-65, sebelum kapten pasukan Paulo Josue melengkapkan kemenangan bergaya mereka pada minit ke-74.

Selain kebajikan pemain, pemain berusia 27 tahun ini juga berkata antara faktor lain yang membuatkan beliau enggan meninggalkan pasukan itu adalah keharmonian pemain, barisan kejurulatihan dan juga pengurusan.

Dalam pada itu, Zhafri juga menyuarakan keyakinannya pasukan KL mampu sekurang-kurangnya melepasi peringkat kumpulan dalam saingan Piala AFC nanti.

“InsyaAllah kita memang sasar untuk layak ke peringkat seterusnya. Dengan barisan pemain sedia ada dan pemain-pemain baru saya percaya jurulatih (Bojan Hodak) pasti ada perancangan untuk mantapkan lagi skuad pada musim ini.”

Untuk rekod, Zhafri merupakan salah seorang pemain KL paling lama bersama pasukan itu iaitu lebih enam musim bersama.

Sementara itu, selepas berjaya menamatkan kemarau 32 tahun tanpa piala, Zhafri yakin pasukan KL pada musim ini mampu memberi saingan sengit kepada pasukan di Liga Super dan mampu membawa pulang sekurang-kurangnya satu piala lagi musim ini.