Walaupun kita serba kekurangan, kita sudah capai apa yang kita kehendaki – Wan Mustafa

57

Ketua jurulatih KL Rovers FC, Wan Mustafa Wan Ismail berbangga dengan pencapaian pasaukan itu menamatkan saingan di tangga kedua MBSB Bank Championship walaupun dipintas pada perlawanan terakhir oleh Imigresen FC.

Katanya, pada permulaan musim lagi, pasukannya tidak diletakkan sasaran sebagai juara, namun berjaya menyaingi pasukan-pasukan yang dibarisi pemain bintang seperti Harini FT dan Imigresen.


“Tiada apa yang kecewakan saya, kita sudah capai apa yang kita kehendaki pada hari ini.

Kita duduk tangga atas dari awal hingga penghujung musim, kita layak Piala Malaysia dan harap pemain kita timba pengalaman serta diberi peluang bermain di Liga Super,”

katanya.

Beliau berkata demikian selepas aksi terakhir MBSB Bank Championship menentang Harini FT yang menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 1-1.

Tambahnya, walaupun serba kekurangan dari segi fasiliti dan kewangan, pemain sentiasa bersabar dan bermain bersungguh-sungguh.

“Memang kita serba kekurangan dari awal musim lagi, kita kekurangan dari segi fasiliti dan juga kewangan, tetapi pemain sentiasa bersabar sepanjang musim.

Saya harap ini menjadi pengajaran kepada pihak pengurusan bahawa pemain-pemain muda ini jika dijaga dengan betul mereka akan beri 100 peratus kepada pasukan.”