Nenad Bacina boleh gembira sebab kami hanya jaringkan dua gol sahaja – Tomislav Steinbruckner

339

Ketua jurulatih Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner merasakan pasukannya patut menjaringkan lebih daripada dua gol pada  perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia 2023 menentang KL City FC sebentar tadi.

Katanya, mereka mempunyai banyak peluang keemasan yang sepatutnya boleh menggandakan lagi jaringan untuk dibawa bekalan ke Kuala Terengganu.


“Apabila menang sudah tentu saya gembira tetapi saya rasa kita sebenarnya boleh jaringkan lebih banyak gol lagi, kita ada tiga atau empat peluang yang baik.

Pada perlawanan kedua nanti kita harus lebih baik lagi, saya beritahu kepada Nenad Bacina (ketua jurulatih KL City) bahawa dia boleh berasa gembira kerana kami hanya jaringkan dua gol,”

katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas perlawanan tersebut yang menyaksikan pasukannya menang 2-1.

Steinbruckner menjangkakan perlawanan timbal balik yang lebih sukar memandangkan beberapa pemain utama KL City seperti Paulo Josue dan Romel Morales akan kembali.

Tambahnya, saingan Piala Malaysia dan juga Piala AFC menjadi keutamaan buat pasukannya ketika ini selepas berbincang dengan pihak pengurusan.

“Beberapa bulan lalu saya ada mesyuarat dengan pihak pengurusan dan kita putuskan untuk fokus kepada Piala Malaysia dan juga Piala AFC.

Kami berjaya tewaskan pasukan dari Australia yang boleh dianggap sebagai terkuat dalam kumpulan, kemudian mendapat satu mata menentang Bali United, dan Khamis ini kami akan bertemu Stallion Laguna pula.”